Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:21pm

FELDA mahu lupus pegangan dalam Eagle High

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bercadang melupuskan pegangannya dalam PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High), milik syarikat pelaburan Indonesia, Rajawali Group.

Syarikat perladangan negara itu juga dikatakan menuntut kembali lebih AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang ia telah laburkan ke atas ladang kelapa sawit dan aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

Memetik laporan The Straits Times Singapura, pengambilalihan 37 peratus kepentingan dalam Eagle High oleh FELDA itu dianggap kontroversi serta menimbulkan kebimbangan mengenai urus niaga itu dan FELDA ingin menjual semula kepentingan ekuitinya pada harga pembelian AS$505.4 juta (RM2.06 bilion) bersama dengan faedah tahunan enam peratus yang harus ditanggung syarikat Indonesia.

Lembaga pengarah FELDA dikatakan memutuskan untuk melaksanakan tindakan itu dalam satu surat bertarikh 3 Januari lalu kepada Rajawali Group.

Rajawali Group adalah syarikat milik jutawan Indonesia, Peter Sondakh. Di bawah perjanjian itu, Eagle High dikehendaki memastikan pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil, akreditasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang membolehkan akses ke pasaran utama dijalankan sebelum akhir 2019.

Pengurusan FELDA dikatakan mengambil maklum Rajawali Group sudah membuat sedikit kemajuan dalam mendapatkan pensijilan itu, tetapi terpaksa membatalkan perjanjian itu.

Pengurusan Rajawali Group yang turut terbabit dalam pelbagai segmen perniagaan lain seperti telekomunikasi, pertanian, peruncitan dan perlombongan bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara ini.

Pegawai kanan kerajaan Malaysia yang terbabit secara langsung dalam penstrukturan semula FELDA mengakui bahawa Rajawali telah memaklumkan kepada FELDA pihaknya akan mencabar perkara itu di mahkamah.

Kes mahkamah itu kelak akan menjadi tumpuan dunia kerana ia akan mendedahkan kebenaran dan membabitkan campur tangan politik dalam pengambilalihan itu.

Audit berterusan ke atas operasi FELDA juga mendedahkan salah urus dan penyelewengan serius dalam pengambilalihan kepentingan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Kerugian kewangan yang berterusan sejak tahun 2013 telah meletakkan tekanan yang serius terhadap aliran tunai dan keupayaan FELDA untuk membayar beban hutangnya yang melonjak kepada lebih RM8 bilion pada pertengahan 2018 daripada RM1.5 bilion pada tahun 2009.

Berita Harian X