Jumaat, 8 Februari 2019 | 2:37pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berucap merasmikan pejabat perhubungan kerajaan dan sektor awam Affin Hwang Asset Management Bhd di Putrajaya, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Hanya PM boleh umum perkembangan ECRL bila tiba masanya

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat pengumuman penting berhubung status pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila tiba masanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, berkata perkara itu sudah pun dipersetujui, melainkan adanya arahan daripada Perdana Menteri supaya Menteri kanan boleh mengeluarkan kenyataan berhubungan perkembangan projek mega berkenaan.

"Isu ECRL kini membabitkan perbincangan kerajaan Malaysia dan China. Ia adalah isu besar yang mana hanya perdana menteri akan mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Ia bukan perkara mudah dan apabila tiba masa yang sesuai Tun Dr Mahathir akan umumkan sesuatu. Jika ada kebenaran (perdana menteri) barulah menteri lain boleh keluarkan kenyataan.

"Kerajaan tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan bercanggah kerana isu ini sangat penting kepada negara," katanya kepada media selepas merasmikan pejabat perhubungan kerajaan dan sektor awam Affin Hwang Asset Management Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Affin Bank Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.

Baru-baru ini, Mahathir menegaskan projek ECRL masih dalam rundingan dengan pihak berkaitan dan beliau masih tidak boleh memaklumkan status perkembangan projek berkenaan kerana masih menunggu keputusan rundingan itu.

Ia susulan langkah China menawarkan untuk mengurangkan hampir separuh kos pembinaan projek rel yang bernilai AS$20 bilion dalam usaha menyelamatkan mercu tanda projek pembangunannya di Asia Tenggara.

Menurut sumber, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) menawarkan untuk mengurangkan separuh kos pembinaan berjumlah RM67 bilion ringgit atau AS$16.39 bilion bagi jajaran landasan sepanjang 688 kilometer.

Pengurangan itu hanya bagi kos membabitkan pembinaan, tidak termasuk kos kadar faedah dan kos pengambilan tanah.

367 dibaca
Berita Harian X