Selasa, 29 Januari 2019 | 6:12pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli. Foto NSTP/Salhani Ibrahim.

Lapan industri utama diberi tumpuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan memberi tumpuan kepada lapan industri utama yang mempunyai potensi besar bagi terus memacu ekonomi negara.

Timbalan Menteri MED, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, lapan industri itu termasuk perladangan getah, ternakan, pembuatan minyak, tenaga diperbaharui, rel, bioteknologi, peralatan perubatan, pendidikan dan kesihatan swasta.

Katanya, industri berkenaan dilihat mampu memberi sumbangan tinggi dan memberi impak positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkaitan bagi seluruh rantaian bekalan.

"Selain itu, pelaburan, eksport dan permintaan yang tinggi terhadap industri ini juga akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan secara keseluruhannya.

"Tumpuan terhadap industri ini amat penting kerana menerusi tinjauan yang dijalankan oleh SME Corp dan Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu SME Input-Output (SME-IO), terdapat kelemahan dari segi hubungan antara PKS dan firma besar.

"PKS terlalu bergantung kepada firma besar dalam memperoleh input, manakala firma besar pula sebaliknya," katanya pada sidang media selepas merasmikan laporan tinjauan SME-IO di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Mohd Hatta berkata, MED akan mengenal pasti kelemahan itu bagi setiap industri berkenaan dan akan berusaha mengatasinya bagi memastikan sasaran sumbangan 41 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) PKS dapat dicapai menjelang 2020.

Tinjauan SME Input-Output dijalankan setiap lima tahun sekali membabitkan sejuta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sebanyak 900,000 daripada sejuta syarikat yang terbabit adalah PKS iaitu kira-kira 98.6 peratus dan SME-IO boleh dimuat turun melalui laman web SME Corp.

185 dibaca
Berita Harian X