Isnin, 21 Januari 2019 | 4:10pm

Hak penyiaran EPL di Malaysia mungkin bukan lagi monopoli

KUALA LUMPUR: Hak penyiaran bagi isi kandungan sukan premium, khususnya Liga Perdana Inggeris (EPL) di Malaysia berkemungkinan tidak lagi dimonopoli oleh stesen televisyen berbayar selepas musim 2021/22.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Khairul Azizi Kairudin, berkata gergasi media sosial dunia, antaranya telah memenangi hak untuk menyiarkan liga yang mendapat tontonan tertinggi dunia itu dari 2019 hingga 2022 di negara jiran seperti Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam.

“Dalam jangka masa panjang, kami tidak menolak kemungkinan perjanjian sama akan berlaku di Malaysia. Beralih kepada platform digital seperti Facebook akan membantu pengendali liga itu, Premier League memaksimumkan tontonan kerana pengguna semakin meninggalkan televisyen berbayar.

“Malah, menurut laporan The Times, liga itu juga sedang mengadakan rundingan bersama YouTube dan Netflix berhubung hak penyiaran,” katanya dalam satu nota.

Astro Malaysia Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan televisyen berbayar terbesar tempatan telah menjadi satu-satunya penyiar liga utama Inggeris itu di Malaysia sejak 1997.

EPL juga menjadi salah satu kandungan sukan terpenting Astro. Sekurang-kurangnya separuh daripada pengguna Astro melanggan pakej sukan.

September lalu, Astro berjaya memperoleh hak untuk menyiarkan EPL untuk tiga lagi musim daripada 2019/20 hingga 2021/22.

Kos hak penyiaran itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Di bawah perjanjian penyiaran berkenaan, Astro diberikan hak menayangkan semua 380 perlawanan secara langsung di Astro TV dan Astro GO.

Walaupun beberapa penganalisis merasakan Astro mula berdepan bahang daripada kemasukan penyedia perkhidmatan penstriman Internet seperti Netflix dan iflix, kelebihan utama Astro adalah ia mempunyai hak menyiarkan beberapa acara sukan utama dunia.

Di Malaysia, beberapa penyedia perkhidmatan penstriman mula menjadikan acara sukan sebagai antara pakej tumpuan bagi menarik pelanggan.

Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi tajaannya kepada Liga Malaysia mendapatkan hak untuk menayangkan perlawanan liga bola sepak tempatan menerusi unifi TV sejak musim lalu.

iflix, menerusi perjanjian sama juga mendapat hak penyiaran sama, sekali gus menjadikan tayangan Liga Malaysia paling menyeluruh dalam sejarah.

Berita Harian X