Ahad, 20 Januari 2019 | 3:43pm

Pelabur asing terus beli saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing secara amnya pembeli bersih dalam pasaran saham Malaysia minggu lalu, menyuntik RM231.21 juta antara Isnin dan Khamis berbanding hanya RM25.5 juta minggu sebelumnya.

Aliran keluar dana asing sebanyak RM12.33 juta hanya dicatatkan pada Isnin manakala hari lain menyaksikan aliran masuk bersih dana asing.

Ketua Pegawai Urusan M&A Securities Sdn Bhd, R Sundararajah, berkata petunjuk pasaran FBM KLCI naik 9.51 mata hingga Khamis dan secara amnya, ia mencatat kemajuan dengan pasaran ekuiti menyaksikan minat daripada pembeli asing.

“Terdapat saranan beli bagi ekuiti di rantau ini oleh beberapa syarikat asing berikutan penilaian saham yang rendah dan ini juga memberi kesan positif kepada FBM KLCI.

“Selain itu, pertikaian tarif yang berkurangan antara AS dan China dialu-alukan oleh pasaran ekuiti di rantau ini,” katanya kepada Bernama.

Sundararajah, bagaimanapun berkata ketidakpastian terkini mengenai Brexit di United Kingdom (UK) pada Selasa yang membawa kepada anti-klimaks, memberi kesan kepada pasaran tempatan.

Keputusan oleh China Central Bank untuk menyuntik AS$83 bilion untuk mengekalkan mudah tunai dalam sistem perbankan adalah satu lagi berita utama dalam pasaran minggu ini.

“Mengenai masa depan, kami menjangka pasaran saham minggu depan berada pada sekitar paras semasa dan menguji paras 1,690 mata, jika tiada halangan di dalam dan luar negara,” kata Sundararajah.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari Isnin hingga Khamis, penyertaan institusi tempatan dalam pasaran ekuiti adalaj yang tertinggi, dengan kadar purata sebanyak 49.2 peratus, diikuti institusi asing (25.6 peratus) dan runcit tempatan (25.2 peratus).

“Bagaimanapun, institusi tempatan adalah penjual bersih antara Isnin dan Khamis, berjumlah RM278.6 juta manakala runcit tempatan mencatatkan pembelian bersih sebanyak RM47.4 juta,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, ini didorong oleh perkembangan dalam ekonomi global yang terus bergelut dengan ketidakpastian yang meningkat, terutama berkaitan dengan Brexit dan pelan rangsangan China untuk mengurangkan kadar cukai nilai tambahnya ke atas industri terpilih untuk mengelak kelembapan.

Selain itu, katanya penutupan kerajaan AS yang dilihat paling lama dalam sejarah turut mempengaruhi sentimen pelabur pada minggu ini.

“Mengenai masa depan, perkembangan mengenai rundingan perdagangan antara AS dan China akan diteliti.

“Begitu juga, sebarang kemajuan mengenai Brexit akan menjadi satu pencapaian yang besar terutama apabila Perdana Menteri Teresa May terselamat daripada usul undi tidak percaya pada Rabu,” kata Mohd Afzanizam.

Bersetuju dengan pandangan Sundararajah, beliau turut menjangka FBM KLCI akan kekal dalam jajaran kecil berikutan sentimen pasaran yang akan terus berhati-hati.

Antara pergerakan korporat minggu lalu, kejatuhan harga minyak mentah pada 2014 dijangka menyebabkan Perisai Petroleum Teknologi Bhd menghadapi penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia pada 13 Februari ini.

Syarikat itu gagal untuk mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia untuk pelan penyusunan semulanya. Dagangan saham Perisai akan digantung mulai 22 Januari.

Pada Jumaat, saham DRB-HICOM Bhd terjejas susulan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Proton Automobiles (China) Ltd berdepan saman sivil RM523 juta daripada bekas rakan kongsi dari China, Goldstar Heavy Industrial Co Ltd.

Tuntutan itu berkaitan kontrak yang dimeterai antara anak syarikat 50.1 peratus PROTON, Lotus Group International Ltd dan Goldstar pada 17 April 2015 untuk menubuhkan syarikat usaha sama dikenali sebagai Goldstar Lotus Automobile Co Ltd.

Harga saham DRB-HICOM merosot 12 sen kepada RM1.67 dengan 10.25 juta saham diniagakan manakala Perisai Petroleum tidak berubah pada setengah sen.

Mengenai ringgit, Penganalisis Penyelidikan FXTM Lukman Otunuga berkata unit tempatan dijangka diniagakan tinggi minggu ini disokong oleh asas domestik yang kukuh dan harga minyak yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya ia masih terdedah kepada ketidaktentuan di peringkat luaran termasuk Brexit, dasar monetari AS dan ketegangan perdagangan AS-China.

-BERNAMA

Berita Harian X