Jumaat, 11 Januari 2019 | 9:17pm
Harga getah asli dijangka berlegar dalam lingkungan antara RM4 hingga RM5 sekilogram tahun ini. - Foto hiasan

Harga getah asli diunjur RM4 hingga RM5 sekilogram

KUALA LUMPUR: Harga getah asli dijangka berlegar dalam lingkungan antara RM4 hingga RM5 sekilogram tahun ini berbanding paras purata RM4.29 sekilogram tahun lalu.

Harga getah asli secara konsisten kekal di bawah paras RM4 sekilogram sejak Oktober lalu, demikian kata Hong Leong Investment Bank dalam nota penyelidikannya.

Bank pelaburan itu menjangkakan pada 2019 akan memperlihatkan pergerakan turun naik tidak menentu membabitkan harga getah asli, yang juga sejajar dengan halaju harga etilena, iaitu bahan mentah bagi getah sintetik, di Asia.

Katanya, harga getah asli yang rendah akan memanfaatkan syarikat pengeluar sarung tangan terutama yang mempunyai campuran produk getah asli.

“Kami menjangkakan harga getah asli berada sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram pada 2019 dengan mengandaikan tiada gangguan bekalan,” katanya.

Permintaan getah asli dunia dari Januari 2018 hingga Oktober 2018 meningkat 5.2 peratus kepada 11.696 juta tan, sementara pengeluaran dunia berkembang 5.5 peratus kepada 11.468 juta tan, demikian mengikut perangkaan dikeluarkan Persatuan Negara-Negara Anggota Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

Perangkaan itu menunjukkan wujudnya kekurangan bekalan getah asli sebanyak 228,000 tan dalam tempoh dikaji, kata ANRPC.

Pengeluaran dunia dijangka berkembang 5.8 peratus kepada 14.696 juta tan tahun ini, sementara penggunaan dunia dijangka naik 3.6 peratus kepada 14.730 juta tan.

Malaysia kini adalah pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 670,000 tan, selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.

2606 dibaca
Berita Harian X