Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:55pm
- Foto hiasan

Ringgit catat kenaikan mingguan tertinggi sejak Mac 2018

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mencatatkan peningkatan mingguan tertinggi sejak Mac 2018 disokong faktor luaran yang positif, didorong khususnya oleh peningkatan harga minyak mentah dunia.

Peningkatan harga minyak mentah meredakan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal negara, sekali gus menyokong mata wang tempatan untuk terus kekal berada di paras tertingginya dalam tempoh empat bulan.

Ringgit yang kini berlegar di bawah RM4.10 sedolar AS itu mencatatkan kenaikan mingguan terbesar sejak Mac tahun lalu kira-kira satu peratus kepada RM4.0950 berbanding RM4.1360 sedolar yang dicatatkan pada Jumaat minggu sebelumnya.

Beberapa bank terbesar dunia pula menyemak semula unjuran lebih kukuh ringgit berbanding dolar AS untuk tahun ini selepas mata wang tempatan itu mengatasi anggaran pada suku lalu, dengan satu bank dari Jepun menjangkakannya akan mencecah di bawah RM4 akhir tahun ini.

Pada suku keempat tahun lalu, ringgit secara purata mengukuh kepada RM4.13, mengatasi anggaran RM4.19 berbanding mata wang AS.

Kebanyakan bank percaya unjuran optimis itu adalah disebabkan perkembangan luaran yang lebih positif, termasuk keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah tahun ini, di samping hubungan antara AS dan China yang bertambah baik.

Affin Hwang Capital dalam notanya berkata, lebihan akaun semasa yang kekal kukuh dilihat akan terus menyokong ringgit.

Ia mengunjurkan ringgit didagangkan pada paras RM3.90 berbanding satu dolar AS menjelang akhir tahun ini.

Ketua Penyelidik Australia & New Zealand Banking Group yang berpangkalan di Singapura, Khoon Goh, berkata ringgit meraih manfaat daripada kemajuan sentimen global untuk terus mengukuh berbanding dolar AS ketika ini.

Beliau berkata, dengan kekal di bawah paras RM4.10 sedolar AS, paras sokongan berikutnya bagi ringgit ialah RM4.06 sedolar.

Harga minyak Brent berada pada paras AS$62.23 setong setakat 4.52 petang.

Penganalisis Penyelidik FXTM, Lukman Otunuga, berkata risiko geopolitik, kebimbangan pertumbuhan global, ekonomi China dan prestasi dolar AS adalah faktor yang mempengaruhi harga minyak bulan ini.

Beliau berkata, walaupun dolar AS yang lebih lemah di tengah-tengah keredaan spekulasi kadar faedah AS mungkin menawarkan harga minyak beberapa sokongan.

Katanya, pengeluaran yang kukuh syal AS dan petunjuk selanjutnya China mengalami kelembapan akan diterjemahkan kepada kejatuhan, terutamanya ketika mempertimbangkan Asia adalah pengguna minyak utama.

803 dibaca
Berita Harian X