Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:23pm
Malaysia dijangka merealisasikan konsep masyarakat tanpa tunai dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Malaysia belum capai tahap masyarakat tanpa tunai

KUALA LUMPUR: Malaysia masih lagi jauh dalam perjalanan untuk menjadi masyarakat tanpa tunai, berikutan tabiat rakyat Malaysia yang lebih suka berbelanja menggunakan tunai untuk pembayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser berpendapat negara ini hanya akan mampu merealisasikan konsep masyarakat tanpa tunai dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Dalam era digital hari ini, adalah terlalu mahal bagi sesebuah negara untuk mencetak wang tunai atau peruncit mengendalikan wang tunai.

"Tetapi bukanlah bermakna instrumen tunai akan terhapus esok, ia akan mengambil masa dan saat itu pasti kita akan tempuh, mungkin dalam 20 tahun," katanya kepada taklimat media mengenai ekosistem pembayaran Malaysia di sini, hari ini.

Schiesser menjelaskan bahawa sekarang ini, masyarakat tanpa tunai mungkin tidak sesuai untuk kawasan pendalaman kerana kebanyakan penduduk masih bergantung kepada wang fizikal dan mempunyai tahap celik kewangan yang rendah berbanding dengan penduduk bandar.

"Di sinilah negara perlu memainkan peranan khususnya dalam mendidik orang untuk meningkatkan kesedaran mereka dan membuat perbezaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata angka transaksi elektronik di Malaysia telah melonjak sejak dua tahun lalu, disebabkan perkembangan perniagaan e-dagang di negara ini.

Menurut perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah 833.9 juta transaksi telah dibuat melalui perbankan Internet dari Januari sehingga Disember 2018, berbanding 741.9 juta bagi keseluruhan 2017 dan 588.2 juta pada 2016.

Statistik menunjukkan bahawa transaksi perbankan mudah alih juga meningkat dalam tempoh 11 bulan pertama 2018 kepada 1.92 bilion daripada 1.05 bilion yang dicatatkan bagi keseluruhan 2017 dan 526.6 juta pada 2016.

Bagaimanapun, jumlah pengeluaran wang tunai daripada mesin juruwang automatik berkurangan kepada 718.3 juta dari Januari hingga Disember 2018 berbanding 763.9 juta bagi keseluruhan 2017 dan 761.2 juta untuk 2016.

Schiesser ketika ditanya adakah perlu untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah masyarakat tanpa tunai, beliau mengingatkan bahawa sikap terlalu bergantung kepada pembayaran digital akan meletakkan negara dalam risiko, terutama apabila wujud ancaman keselamatan dan kebimbangan geopolitik.

"Sebagai contoh, Sweden (yang membentuk masyarakat tanpa tunai paling besar) sedang berhadapan dengan beberapa potensi risiko, iaitu, apa yang berlaku sekiranya infrastruktur digital terjejas? Sweden akan lumpuh," katanya.

-BERNAMA

93 dibaca
Berita Harian X