Khamis, 10 Januari 2019 | 8:27pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dasar Keusahawanan Negara garis hala tuju nasional

KUALA LUMPUR: Dasar Keusahawanan Negara yang akan dilancarkan pada pertengahan suku kedua tahun ini akan menggariskan hala tuju bagi pertumbuhan sektor keusahawanan nasional, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, ia adalah antara usaha kementerian untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia menjelang 2020, khususnya yang membabitkan usahawan.

Dasar berkenaan, katanya akan dilancar serta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam dasar ini nanti, kita melihat ia sebagai pemangkin untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada ekonomi negara.

"Malah, dengan segala teras yang kita bakal gariskan dalam dasar ini, kita berharap ia dapat menjana pulangan sebanyak RM50 bilion sektor koperasi pada 2020.

"Selain itu, ia juga dapat mewujudkan lebih sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun," katanya ketika ditemui pada ‘Sesi Sepetang Bersama Pak Wan’ di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menterinya, Datuk Dr Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

64 dibaca
Berita Harian X