Selasa, 8 Januari 2019 | 7:22pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. Foto BERNAMA

'Hanya sebahagian dana RM20 juta untuk bangun prototaip'

CYBERJAYA: Hanya sebahagian daripada dana kira-kira RM20 juta yang diperuntukkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

MED, seperti juga kementerian lain, mempunyai geran untuk R&D dan beliau telah mengetengahkan pandangan kepada jemaah Menteri supaya sebahagian daripada dana berkenaan digunakan bagi mewujudkan prototaip kereta nasional.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pra-pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE2019) di sini hari ini, Mohd Redzuan juga berkata kos penyediaan prototaip kereta nasional, yang akan dibangunkan oleh vendor yang bakal diputuskan kelak, adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

"Dana R&D yang dimiliki kementerian dianggarkan berjumlah RM20 juta, dan kita tidak gunakan kesemuanya untuk hasilkan prototaip kerana kita akui kos bagi bangunkan prototaip adalah lebih rendah daripada itu," katanya mengulas pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan kementerian menggunakan wang kerajaan bagi menjayakan projek kereta nasional itu.

Semalam, beliau dilaporkan berkata kementeriannya telah meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.

Katanya, pengkritik projek kereta nasional tidak memahami perkara atau kebaikan tersirat di sebalik idea berkenaan.

Perkara tersirat yang tidak diberi perhatian ialah kewujudan projek kereta nasional itu boleh menjadi pemangkin kepada ramai usahawan automotif dan mereka yang terbabit dalam ‘Internet Segala-galanya’ (IOT), robotik, perisian serta aeroangkasa untuk turut sama memperoleh peluang ekonomi.

"Apabila bercakap mengenai industri automobil, ia akan membabitkan banyak aktiviti kejuruteraan lain kerana pembuatan kereta memerlukan banyak kepakaran dan sebab itu kita perlu membangunkan satu model atau prototaip yang tentunya memerlukan dana," katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga itu, namun menegaskan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

-BERNAMA

Berita Harian X