Selasa, 8 Januari 2019 | 12:50pm

Moody's unjur pertumbuhan perlahan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia tahun ini akan berkembang perlahan 4.7 peratus manakala tahun depan 4.5 peratus, selepas mencatatkan kadar pertumbuhan purata lima peratus dari 2015 hingga 2018.

Dalam kenyataannya hari ini, firma penarafan global itu berkata ketidaktentuan luar daripada dasar perlindungan akan mempengaruhi aktiviti perdagangan, manakala semakan semula terhadap projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan awam yang perlahan terbukti terus menjejaskan pertumbuhan.

“Bagaimanapun, pengembangan ekonomi (Malaysia) masih kekal lebih kukuh berbanding purata penengah untuk negara lain dengan penarafan A, walaupun mengambil kira perkembangan yang menyederhana,” katanya.

Rumusan yang dibuat oleh agensi penarafan itu disiarkan dalam analisis kreditnya bertajuk ‘Kerajaan Malaysia - A3 stabil: Analisis kredit tahunan’.

Analisis itu mengkaji profil kredit Malaysia dari segi kekuatan ekonomi, yang dinilai sebagai ‘sangat tinggi (-)’; kekukuhan institusi pada ‘tinggi (+)’; kekukuhan fiskal pada ‘sederhana’; dan kecenderungan untuk risiko berlaku pada ‘sederhana (-)’, yang juga adalah empat faktor analisis utama dalam Moody's Sovereign Bond Methodology Rating.

Mengulas lanjut, Moody's berkata profil kredit kerajaan Malaysia pada A3 stabil, mencerminkan kedudukan ekonomi Malaysia adalah besar dan pelbagai, dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang sihat dan hutang kerajaan agak tinggi yang sebahagiannya diimbangi oleh struktur hutang baik dan simpanan domestik besar.

Ia menegaskan, pilihan dasar fiskal kerajaan Malaysia pada masa ini, khususnya menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menyempitkan asas pendapatannya dan mengurangkan fleksibiliti fiskal.

“Selain itu, beban hutang Malaysia, yang jauh lebih tinggi daripada penengah (negara) penarafan A, akan kekal sebagai kekangan kredit. Bagaimanapun, pasaran modal domestik yang mendalam dan penjimatan tinggi menyediakan asas pendanaan yang stabil untuk hutang kerajaan dan sebahagiannya mengimbangi kelemahan fiskal ini.

“Rangka kerja institusi yang teguh merangkumi dasar monetari berkesan menyokong profil kredit negara. Bagaimanapun, rasuah yang merebak mungkin akan menjadi satu cabaran bagi kerajaan, sekali gus menjejaskan keberkesanan dasar,” katanya.

Moody’s berkata, tinjauan yang stabil terhadap penarafan kedaulatan menunjukkan perubahan penarafan tidak mungkin berlaku dalam jangka terdekat, dengan kekangan dalam pengimbangan penarafan kredit.

“Penarafan boleh berdepan tekanan tambahan jika skop untuk pengukuhan fiskal meningkat. Malahan, Moody’s akan mempertimbangkan penarafan kedaulatan akan diturunkan jika prospek fiskal Malaysia melemah atau beban hutangnya meningkat.

“Tekanan penarafan diturunkan juga boleh berlaku, andanya ketidaktentuan politik bertambah dan pandangan menyimpang dalam kerajaan menjejaskan keberkesanan dasar atau mengurangkan kemampuan kerajaan untuk mencapai matlamat pengukuhan fiskal, atau mengancam kestabilan aliran model ke dalam negara,” katanya.

132 dibaca
Berita Harian X