Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:19pm

Lebih banyak tender projek awam tahun ini

KUALA LUMPUR: Lebih banyak kerja-kerja pembinaan dijangka ditawarkan bermula separuh kedua tahun ini, selepas sektor berkenaan melalui tempoh agak perlahan sepanjang 2018 susulan semakan semula tender beberapa projek awam.

Penganalisis Kenanga Research, Adrian Ng, berkata bagi tahun kewangan 2018 jumlah keseluruhan kontrak diperoleh syarikat senaraian awam hanyalah RM18.9 bilion, penurunan drastik sebanyak 48 peratus berbanding setahun sebelumnya, khususnya selepas semakan semula kos projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) dan Aliran Transit Massa 2 (MRT2).

“Menuju ke 2019, kami berharap untuk melihat peningkatan kerja-kerja yang diperoleh syarikat senaraian awam, bersandarkan kepada proses tender semula projek Trek Berkembar Lembah Klang (KVDT), pembinaan hospital-hospital awam, monorel ke Putrajaya, potensi perbelanjaan infrastruktur oleh kerajaan Sarawak, dan penyiapan penuh Lebuh Raya Pan Borneo Sabah,” katanya dalam satu nota.

Mengulas lanjut, beliau berkata perubahan kerajaan pada tahun lalu adalah sama dengan perubahan dalam mana-mana pengurusan kanan sesebuah syarikat, yang akan menyaksikan ketidaktentuan jangka pendek serta tidak boleh dielakkan.

“Namun, kami tetap positif selepas semua semakan kos dibuat, sektor ini akan melihat lebih banyak aliran berita positif dan tender kompetitif dalam kalangan kontraktor memandangkan lebih banyak tender akan dikeluarkan di bawah dasar Daya Saing, Bertanggungjawab dan Ketelusan (CAT), khususnya untuk projek-projek terbabit,” katanya.

Ng bagaimanapun berkata, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan perkembangan berita mengenai projek terbabit dalam tempoh terdekat ini kerana penganugerahan kontraknya berkemungkinan akan bermula hanya seawal separuh kedua tahun ini.

“Justeru, kami percaya kontraktor-kontraktor akan meninjau lebih banyak kerja-kerja sektor swasta seperti perumahan kos rendah, bangunan bertingkat, pusat beli belah, projek pembangunan semula pejabat serta hospital pakar atas swasta dalam masa terdekat ini.

“Kami percaya (nilai) kontrak yang diperoleh syarikat senaraian awam adalah sama jika tidak lebih tinggi,” katanya.

Di Bursa Malaysia, beliau berkata Indeks Pembinaan jatuh 50 peratus berbanding kenaikan 7.5 peratus indeks penanda aras FBM KLCI setakat ini, dipengaruhi oleh ketidaktentuan serta kurangnya pemangkin dalam sektor pembinaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kontraktor utama seperti Gamuda Bhd dilihat giat meninjau kerja-kerja pembinaan lebih kecil bernilai sekitar RM300 juta hingga RM500 juta, yang bermakna ia bersaing dengan kontraktor tempatan berskala lebih kecil.

Gamuda juga, katanya menyasarkan pasaran luar negara yang mempunyai tawaran kerja infrastruktur bawah tanah seperti Taiwan dan Singapura.

“Kami merasakan peralihan mendadak Gamuda kepada kerja-kerja lebih kecil adalah satu petunjuk projek infrastruktur awam yang perlahan, menyebabkan mereka bersaing dalam segmen kontrak bersaiz lebih kecil.

“Kami berpandangan bahawa jika lebih banyak kontraktor bermodal besar bersaing dalam segmen bersaiz lebih kecil pada masa akan datang, akan berlaku penggabungan dalam sektor pembinaan, memandangkan kontraktor kecil kekurangan daya saing disebabkan sumber yang terhad, sekali gus menyukarkan kelangsungannya,” katanya.

KVDT adalah antara projek yang menjadi perhatian selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tahun lalu menjelaskan bahawa fasa kedua kerja menaik taraf trek KTM Bhd (KTMB) bernilai RM5.9 bilion itu sedang disemak semula.

Tarikh penyiapan fasa pertama KVDT, yang menelan kos RM1.4 bilion pula ditangguhkan kepada November ini, berbanding Ogos seperti dijadualkan awalnya.

Berita Harian X