Khamis, 3 Januari 2019 | 9:39pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Program Siaran Langsung Mandat TV3 di Sri Pentas. - Foto Rohanis Shukri

Sarawak, PETRONAS terus bincang isu petroleum

KUCHING: Perbincangan antara kerajaan negeri Sarawak dengan PETRONAS mengenai isu petroleum akan diteruskan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan perkara itu yang dicadangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet 17 Disember lalu.

Abang Johari berkata ini disebabkan pihak PETRONAS telah mengambil langkah berhati-hati berikutan minat Sarawak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Konsultatif Perjanjian Malaysia 1963 di pejabatnya di sini hari ini,

Menurut Abang Johari, semasa mesyuarat pada 17 Disember lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyampaikan pandangan bahawa cukai jualan yang dikenakan ke atas produk petroleum bermula 1 Januari ini adalah tidak wajar, tetapi kerajaan negeri telah menegaskan bahawa ia adalah hak negeri Sarawak dan ia dilaksanakan di bawah Perlermbagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh.

“Sarawak juga berpandangan bahawa ianya hendaklah mengambil kira cukai petroleum (PITA) yang dikenakan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Ditanya lanjut, Abang Johari berkata Sarawak sebenarnya boleh menggenakan peratus cukai yang lebih tinggi, misalnya 10 peratus tetapi kerajaan negeri Sarawak turut mempertimbangkan suasana ekonomi semasa.

Menurut Abang Johari, Menteri Kewangan memberi sebab ketidak wajaran menggenakan cukai jualan berkenaan atas faktor ia akan menaikkan kos dan pelabur mungkin tidak mahu lagi melabur dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

“Tetapi jawapan saya kepada beliau ialah hak menggenakan cukai dibenarkan di bawah perlembagaan tetapi jika ia tidak kompetitif maka kerajaan persekutuan boleh membuat perubahan ke atas struktur cukainya kerana pada masa ini kerajaan persekutuan turut menggenakan cukai pendapatan petroleum sebanyak 38 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mencadangkan kerajaan persekutuan mengurangkan kadar cukai pendapatan petroleumnya sebanyak lima peratus menjadi 33 peratus sahaja.

“Kenapa harus kita (Sarawak) mengorbankan hak kita?” tanya beliau sambil berkata anggota Jawatankuasa Khas itu turut bersetuju bahawa ia adalah hak negeri Sarawak.

Menurut Abang Johari lagi, semasa mesyuarat jawatankuasa khas itu lima perkara telah dibincangkan dan kerajaan Sarawak telah menyokong atas cadangan pindaan perlembagaan dalam Perkara 1(2) mengenai tiga wilayah dalam pembentukan Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X