Khamis, 3 Januari 2019 | 3:24pm

Harga minyak dunia diunjur AS$60 setong

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah penanda aras global, Brent dijangka berada pada purata AS$60 setong, dengan lingkungan dagangan antara AS$55 hingga AS$65 setong pada tahun ini.

Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Steven Chan, kejatuhan harga minyak mentah dunia tidak menjejaskan operasi berkaitan minyak dan gas (O&G) di negara ini, malah boleh memberi manfaat kepada peserta industri.

Dengan paras harga minyak rendah pada masa ini, beliau berkata aliran aktiviti daripada operasi minyak dan gas sedia ada dijangka berjalan seperti biasa berikutan projek daripada lapangan minyak baharu kurang memberangsangkan daripada aspek ekonominya.

“Bagi prospek aktiviti terbaharu PETRONAS, ia mungkin akan menumpukan kepada beberapa aktiviti termasuk dalam penggerudian, penyewaan kapal dan penyelenggaraan.

“Penumpuan aktiviti berkenaan yang mana akan memberi manfaat kepada peserta industri seperti Velesto Energy Bhd; Dayang Enterprise Holdings Bhd, Uzma Bhd dan Serba Dinamik Holdings,” katanya.

Harga minyak mentah dunia menunjukkan kadar turun naik yang tinggi dan merosot di bawah paras AS$60 setong daripada paras tertinggi AS$85 setong yang dicatatkan pada Oktober 2018.

Sementara itu, Chan berkata dalam keadaan harga minyak tidak menentu, asas syarikat yang sedia ada seperti pulangan ke atas ekuiti (ROE) memainkan peranan lebih besar dalam menentukan penilaian dagangan mereka.

“Jika sentimen atau harga minyak bertambah baik, ia akan memberi lebih momentum kepada peserta industri,” katanya.

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu berkata, pihaknya menjangkakan prestasi sektor berkenaan kekal tidak berubah.

Harga minyak dunia hari ini jatuh kira-kira satu hingga dua peratus di tengah-tengah turun naik mata wang dan pasaran saham, selain kebimbangan prestasi ekonomi yang perlahan pada 2019.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS susut 2.2 peratus, atau AS$1.01, daripada penutup sebelumnya kepada AS$45.53 setong.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak susut 1.4 peratus, atau 76 cents, pada AS$54.15 setong.

234 dibaca
Berita Harian X