Ahad, 30 Disember 2018 | 6:16pm
Membeli-belah menerusi penstriman langsung menjadi semakin popular melalui pelbagai platform.

Beli belah penstriman langsung semakin popular

KUALA LUMPUR: Memandangkan keinginan pembeli terhadap interaksi ketika waktu sebenar semakin meningkat, membeli-belah dalam talian kini bukan hanya sekadar mengklik pada platform beli-belah.

Di Malaysia, membeli-belah menerusi penstriman langsung menjadi semakin popular melalui pelbagai platform, terutama di Facebook, susulan lebih ramai peruncit menerima guna aliran digital terkini untuk menarik pengguna bijak.

Melihat kepada trend yang semakin pesat berkembang itu, peserta beli-belah dalam talian utama menambah ciri-ciri berkenaan kepada platform masing-masing.

Lazada, telah menambah ciri itu pada aplikasi mudah alihnya yang mencontohi ciri jualan secara penstriman langsung syarikat induknya, Alibaba, di China.

Menurut Lazada, dalam kenyataan baru-baru ini, membeli-belah menerusi penstriman langsung adalah sangat besar di China dengan perolehan menerusi kaedah e-dagang itu dijangka meningkat 32 peratus untuk mencecah AS$4 bilion tahun ini.

"Strim langsung dalam aplikasi kami juga merupakan lokasi bagi jenama yang semakin pesat membangun serta penjual baharu di Lazada untuk menarik pengikut dan komen," katanya.

Ketua Pemasaran Kandungan (Malaysia) Iprice Group, Jeremy Chew berkata pendekatan sama telah dilaksanakan Shopee dan Lelong, dengan tawaran produk khusus tersedia melalui video langsung yang disiarkan di Facebook.

Beliau berkata semakin banyak peserta e-dagang memperkenalkan ciri kreatif untuk menarik minat pembeli dalam talian, terutama pada suku terakhir 2018, yang merupakan tempoh penting bagi jualan akhir tahun.

Chew berkata berdasarkan kajian Iprice, “12.12 Sale” adalah acara jualan dalam talian yang mencatatkan paling banyak carian tahun ini, dengan pelbagai promosi khusus mudah alih di seluruh platform dalam talian di Malaysia diperkenalkan.

Jurusolek di AP & Nraz Sdn Bhd, Eira Lilo Nasir, berkata untuk memiliki kelebihan berbanding pesaingnya, syarikat itu telah menyesuai kepada perubahan keperluan pengguna.

Beliau berkata selain menganjurkan kelas solekan untuk mewujudkan kesedaran tentang jenama syarikat, tutorial secara penstriman langsung juga membantu pihaknya mencapai audiens yang lebih luas dan pelbagai.

Eira berkata kepada Bernama, ratusan pengguna dalam talian mengikuti setiap sesi di penstriman langsung yang dijalankan syarikat itu.

Beliau berkata jualan tinggi dapat dicapai semasa tempoh promosi.

Pembeli tegar, Nur Natrah Mansor berkata beliau menghabiskan banyak masa dengan menggunakan telefon mudah alih berbanding komputer meja.

Oleh itu, beliau amat gemar membeli-belah secara langsung memandangkan ia memerlukan sedikit masa berbanding melayari aplikasi atau platform.

“Pembbaitan ketika masa sebenar dengan penjual serta demonstrasi produk secara langsung memberikan saya perspektif sebenar mengenai kualiti produk yang saya akan beli.

“Terutama apabila anda membeli alat solek. Sebelum ini saya perlu pergi ke outlet untuk mengetahui bedak asas mana yang sesuai dengan jenis kulit saya tetapi sekarang demonstrasi secara langsung benar-benar membantu bagi mengetahui produk terbaik untuk saya," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X