Jumaat, 28 Disember 2018 | 12:52pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan gesa Norway timbang semula pengharaman biofuel sawit

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Utama menggesa Norway supaya menimbang semula keputusannya baru-baru ini untuk menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit.

Menterinya, Teresa Kok, berkata keputusan yang diambil Norway bakal menjejaskan hubungan dagang Malaysia dan Pertubuhan Negara Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) termasuk negara berkenaan, sekali gus menjadi halangan utama ke arah penyelesaian rundingan Malaysia-EFTA.

“Ini kerana kami tidak yakin penilaian ke atas minyak sawit dibuat secara adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norway adalah negara pertama yang mengharamkan biofuel berasaskan sawit.

Kok berkata, Malaysia bimbang tanpa definisi jelas dan tepat selain keputusan yang tidak disokong fakta sah oleh Norway seperti beberapa negara di Eropah, akan meningkatkan penebangan hutan yang dianggap tidak lestari.

Katanya, kecenderungan itu menjadi asas penyebab Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit termasuk pengeluar utama Indonesia dan Malaysia, menolak jemputan untuk bekerjasama pada bengkel Kesatuan Eropah (EU) mengenai “Perubahan Penggunaan Tanah Tidak Langsung (ILUC)” baru-baru ini.

“Tindakan seperti ini menimbulkan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap produk dari negara membangun seperti Malaysia.

“Sebagai pengeluar minyak sawit yang bertanggungjawab, kami melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan amalan yang mampan sepanjang rantaian nilai minyak sawit.

“Selain itu, Malaysia turut melaksanakan persijilan mandatori bagi keseluruhan pengeluaran minyak sawit dan rantaian bekalan menerusi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi Amalan Pertanian Baik serta memelihara hutan.

Menerusi segala usaha yang dilaksanakan Malaysia, Kok melahirkan kekesalan bahawa apa yang dilakukan itu diabaikan oleh sebahagian besar negara Eropah termasuk Norway yang melabelkan minyak sawit negara sebagai tidak mampan.

“Kami tidak akan memandang ringan ketidakadilan ini kerana ia melawan perdagangan yang bebas dan adil. Malaysia akan mengambil langkah yang teliti dalam perbincangan bersama EFTA membabitkan Switzerland, Liechtenstein, Norway dan Iceland,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Norway untuk mengkaji semula diskriminasi dasar itu, selain Malaysia mempelawa penggubal undang-undang negara berkenaan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi memahami amalan lestari yang menjadi elemen utama industri minyak sawit Malaysia.

476 dibaca
Berita Harian X