Khamis, 27 Disember 2018 | 6:45pm
Jumlah permohonan bagi pengeluaran fleksibel pencarum KWSP meningkat ketara berbanding pengeluaran penuh. - Foto hiasan

Permohonan pengeluaran fleksibel KWSP terus meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah permohonan bagi pengeluaran fleksibel pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat ketara berbanding pengeluaran penuh.

Dalam suku tahun ketiga 2018, KWSP mencatatkan 57.76 peratus kenaikan dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kepada 70,955 daripada 44,976 dalam suku tahun yang sama pada 2017.

Jumlah dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun adalah RM2.72 bilion dalam suku ketiga 2018, berbanding RM1.80 bilion dalam suku ketiga 2017.

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun meningkat 45.70 peratus kepada 43,289 (RM791.95 juta) dalam suku ketiga 2018 daripada 29,712 (RM662.05 juta) dalam suku ketiga 2017.

Penggunaan kemudahan dalam talian i-Akaun KWSP pula mencatatkan peningkatan 83.45 peratus kepada 11.09 juta dalam suku tahun ketiga 2018, berbanding 6.04 juta dalam suku tahun yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegwai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata saluran dalam talian dan layan diri KWSP terus mencatatkan peningkatan yang memuaskan dan penurunan dalam kunjungan ke kaunter dan penggunaan kiosk.

“Ini adalah selari dengan usaha strategik kami untuk mecapai tidak kurang daripada 80 peratus ahli menggunakan saluran layan sendiri.

“Kami secara aktif menyarankan ahli untuk mendaftar i-Akaun kerana ia membolehkan mereka untuk menyemak akaun secara lebih dekat selain menjalankan transaksi dengan KWSP dengan lebih mudah.

“Dalam usaha untuk mengurangkan transaksi secara manual, kami telah menambah baik kemudahan e-Pengeluaran melalui i-Akaun yang akan menyaksikan perkhidmatan hujung-ke-hujung dalam proses permohonan pengeluaran selain penambahan ciri-ciri baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam suku tahun dikaji, jumlah pengeluaran diluluskan untuk semua jenis pengeluaran meningkat 6.93 peratus kepada 616,835 daripada 576,836 dalam suku ketiga 2017.

Jumlah pengeluaran bagaimanapun menurun sedikit kepada RM11.52 juta daripada RM11.68 million dalam suku tahun yang sama tahun lalu.

Jumlah pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam suku ketiga 2018 jatuh 53.60 peratus kepada 16,726 (RM907.35 juta) daripada 36,045 (RM2 bilion) dalam suku tahun yang sama tahun lalu.

Pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun mencatatkan peningkatan 15 peratus kepada 14,733 (RM217.77 juta) dalam suku ketiga 2018 daripada 12,811 (RM280.66 juta) dalam suku ketiga 2017.

Berita Harian X