Isnin, 24 Disember 2018 | 8:22am
- Foto Hiasan

Sektor PKS Pada 2018 Kekal Kukuh Di Tengah-Tengah Cabaran IR4.0

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia kekal kukuh pada 2018 ketika sektor itu bersedia untuk menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), dengan sokongan yang kuat dan menggalakkan daripada kerajaan.

Walaupun prestasi sektor itu turut terjejas oleh ketidaktentuan global yang menyebabkan penyusutan ringgit dan seterusnya peningkatan kos perniagaan, keadaan itu dilihat sebagai sementara.

Persekitaran perniagaan untuk PKS terus disokong kerajaan dan syarikat korporat dengan pelbagai inisiatif untuk membantu PKS mempromosi produk dan perkhidmatan mereka di dalam serta luar negara.

SME Corporation Malaysia (SME Corp), yang ditugaskan untuk menyelaras dan melaksanakan pembangunan PKS, memperkenalkan pelbagai program dan aktiviti untuk merangsang pertumbuhan sektor itu.

Pada 2018, sebanyak 158 program pembangunan PKS dilaksanakan dengan komitmen kewangan berjumlah RM14.3 bilion.

Antara lain, agensi itu membelanjakan RM217.33 juta untuk melaksanakan 28 program berkaitan inovasi dan teknologi, dengan memanfaatkan 37,429 PKS di bawah inisiatif dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS tahunannya (SMEIPA).

Berdasarkan SMEIPA untuk 2018, sejumlah 151 program pembangunan PKS dirancang untuk memberi manfaat kepada 613,576 PKS.

Dalam meningkatkan lagi ekosistem teknologi, SME Corp pada Jun bekerjasama dengan Huawei Malaysia untuk menaja satu kajian berhubung 2,033 PKS di seluruh daerah dan sektor, termasuk perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian, untuk meneroka keadaan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Ketika teknologi mengalami inovasi dengan pantas, PKS didapati sukar untuk meningkatkan daya saing mereka, terutama dalam kesediaan untuk menerima IR4.0.

Sehubungan itu, mereka perlu menambah baik strategi untuk kecekapan untuk kekal relevan dalam perniagaan dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Kajian dijalankan SME Corp ke atas 1,469 PKS menunjukkan bahawa 66 peratus responden sedar yang ketidakcukupan pengetahuan dan kemahiran pekerja adalah cabaran terbesar bagi kejayaan pelaksanaan IR4.0.

Mereka masih memerlukan sokongan daripada sumber pembiayaan alternatif, seperti ekuiti swasta, modal teroka atau modal gabungan untuk membantu membina kapasiti, kata SME Corp.

Perkara penting dalam inisiatif IR4.0 termasuk Dasar Kebangsaan Industry4WRD berhubung Industri 4.0 yang dilancarkan kerajaan bagi membolehkan PKS menjadi tangkas dan mudah disesuaikan untuk menghadapi cabaran timbul.

Sejumlah 500 PKS dikenal pasti untuk diletakkan di bawah program Penilaian Kesediaan Industri 4.0, dengan peruntukan sebanyak RM210 juta melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kerajaan berhasrat untuk menambah sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 41 peratus pada 2020 daripada 37.1 peratus yang dicatat tahun lalu dan 36.6 peratus pada 2016.

Sumbangan PKS dalam sektor perkilangan disasarkan meningkat kepada 7.0 peratus daripada KDNK menjelang 2020 daripada 5.8 peratus sekarang.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk merangsang lagi PKS dengan peruntukan sebanyak RM17.94 juta.

SME Corp mengalu-alukan langkah itu sebagai rangsangan lanjut, terutama dalam bidang akses kepada pembiayaan yang akan terus diberi penekanan penting, promosi eksport, keusahawanan dan pelbagai program di bawah Pelan Induk PKS.

Berhubung prospek bagi 2019, SME Corp menjangka sektor PKS akan berkembang 6.0 peratus berbanding 5.9 peratus pada 2018.

"Dengan kemunculan arah aliran mega seperti IR4.0 dan digitalisasi serta kemunculan pendanaan berasaskan pasaran baharu dan teknologi kewangan, PKS dijangka lebih produktif, cekap dan mampu mengurangkan kos menjalankan perniagaan," katanya.

Sementara itu, pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) di Bursa Malaysia menyaksikan sejumlah 20 syarikat disenaraikan sejak dilancarkan pada Julai 2017, termasuk Metro Healthcare Bhd, Nova Pharma Solutions Bhd, Polymer Link Holdings Bhd dan Amlex Holdings Bhd.

Yang terbaru ialah pembekal perkhidmatan penjagaan mata Topvision Eye Specialist Bhd pada 28 November yang mengumpul RM12 juta, tawaran awam awal terbesar di platform setakat ini. - BERNAMA

Berita Harian X