Jumaat, 14 Disember 2018 | 7:56am
- Foto Hiasan

ITRC muktamad langkah tangani harga getah sebelum akhir tahun

KUALA LUMPUR: Sebagai usaha segera untuk memulihkan situasi pasaran getah asli, pegawai dari tiga negara pengeluar – Thailand, Indonesia dan Malaysia – akan bermesyuarat sebelum akhir tahun ini untuk memuktamadkan langkah yang akan dijalankan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) mulai awal 2019.

Dalam satu kenyataan, ITRC berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada golongan pekebun kecil.

Pegawai ITRC juga mengadakan mesyuarat selama dua hari di Putrajaya untuk menangani harga getah asli rendah dan tidak menguntungkan yang berlarutan, menurut badan itu.

Semasa mesyuarat itu, yang berakhir semalam, pegawai menganalisis situasi pasaran getah asli global semasa serta asas pasaran getah asli berkaitan serta pasaran lain.

“Tiga negara – Thailand, Indonesia dan Malaysia – mengatakan kebimbangan bahawa pasaran itu telah dipengaruhi persepsi berdasarkan data yang tidak tepat walaupun mencatatkan keseimbangan yang baik antara bekalan dan permintaan getah asli semasa selain bekalan getah asli berkaitan.

“Harga di pelbagai pasaran tidak menunjukkan asas-asas getah asli ini,” menurut ITRC.

Menurut majlis itu, harga rendah yang berpanjangan, mencecah di bawah kos pengeluaran, telah menjejaskan secara langsung pendapatan dan kesejahteraan berbilion pekebun kecil di semua negara pengeluar. - BERNAMA

Berita Harian X