Khamis, 6 Disember 2018 | 3:14pm
MEGAT Zaharuddin Megat Mohd Nor menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang Nur Athira Azeera Mamat, yang mengikuti Kursus Pembuatan Pakaian Wanita Tahap 3, pada Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Felda ke-22 di Menara Felda. - Foto BERNAMA

Proses jualan aset FELDA berterusan hingga akhir tahun depan

KUALA LUMPUR : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sudah memulakan proses penjualan aset tidak strategiknya di Sabah, Sarawak dan London, dalam usaha meningkatkan aliran tunai agensi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata penjualan aset yang dibeli dengan kos sebanyak RM2.2 bilion itu turut dijangka menampung pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutang hampir 112,635 peneroka, yang dianggarkan berjumlah RM8 bilion.

“Proses jualan aset akan berjalan mungkin sehingga pertengahan atau penghujung tahun hadapan.

“Diharapkan harga yang kami dapat daripada penjualan aset ini boleh menampung liabiliti FELDA, dan juga untuk menolong masalah peneroka yang pada masa ini, sangat susah kerana harga sawit rendah.

“Disebabkan pendapatan FGV (FGV Holdings Bhd) berkurangan, pendapatan ladang sawit FELDA berkurangan, itu sebab kita kena jual aset tidak strategik,” katanya.

Beliau bercakap demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan FELDA ke-22, di sini, hari ini.

Megat Zaharuddin berkata penjualan aset FELDA mematuhi tadbir urus baik dan memastikan peluang sama rata kepada mereka yang berminat membeli aset berkenaan.

“Banyak pembeli menunjukkan minat tetapi FELDA belum membuat keputusan pemilihan sehingga mendapat kelulusan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

“Pembeli yang berminat perlu memasuki tender aset yang mereka minat,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zaharuddin yakin dalam masa dua tahun, masalah aliran tunai dan isu hutang peneroka, sekali gus mengembalikan keuntungan FELDA dapat diselesaikan.

Mengulas isu standard Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), Megat Zaharuddin berkata sebanyak 42 peratus ladang sudah mematuhi syarat berkenaan.

“FELDA mensasarkan 100 peratus ladang sawit tempatan mematuhi MSPO, hujung tahun hadapan,” katanya.

1009 dibaca
Berita Harian X