Khamis, 22 November 2018 | 3:58pm
KUALA LUMPUR 12 AUGUST 2015. (GAMBAR FAIL) Pengurup wang berlesen mengira mata wang ringgit disebabkana nilai mata wang Malaysia jatuh kepada RM 4.02 berbanding sedolar Amerika Syarikat setakat hari ini. NSTP/ Zulfadhli Zulkifli.

Ringgit dijangka cecah RM4.22 tahun depan

KUALA LUMPUR: Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kenaikan kadar faedah AS, ketidaktentuan matawang renminbi serta harga minyak mentah dunia, akan mempengaruhi pergerakan ringgit untuk tempoh selanjutnya.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata nilai mata wang tempatan itu dijangka mencecah paras RM4.22 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) tahun depan berikutan ketidaktentuan faktor luaran.

Beliau berkata, ketidaktentuan persekitaran luaran dan peningkatan ketegangan konflik perdagangan AS-China akan menjejaskan pertumbuhan Asia dan sekali gus memberi kesan kepada prestasi mata wang.

"Kami jangka kadar faedah AS yang lebih tinggi dan pengukuhan dolar AS pada tahun depan. Justeru, ringgit dijangka terus bergerak sejajar dengan mata wang Asia lain, yang mana dijangka lemah berbanding dolar AS," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi Malaysia tahun depan, di sini, hari ini.

Mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2019, Goh berkata, pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka kekal positif meskipun berdepan peningkatan konflik perdagangan AS-China dan ketidaktentuan dasar yang mungkin menyebabkan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Beliau berkata, UOB Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.8 peratus bagi tahun ini dan tahun depan.

"Malaysia tidak terkecuali daripada ketidaktentuan global. Bagaimanapun, ekonomi negara ini akan disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan domestik yang utuh.

"Pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini juga mengemukakan beberapa langkah fiskal yang positif untuk mengukuhkan perbelanjaan pengguna dan menggalakkan pertumbuhan," katanya.

Mengenai inflasi, Goh berkata, pihaknya mengunjurkan kadar inflasi 1.2 peratus tahun ini dan 2.0 peratus tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada paras semasa, 3.25 peratus sehingga separuh pertama tahun depan.

Mengenai harga minyak, Goh berkata, UOB Malaysia menjangkakan harga minyak mentah dunia berlegar antara AS$75 hingga AS$80 setong tahun depan berikutan sekatan terhadap eksport minyak Iran.

Berita Harian X