Rabu, 21 November 2018 | 6:53pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama wakil dari Duta Jepun ke Malaysia, Michiko Nishikawa pada majlis pelancaran produk ayam salai, Miami Grill Smoked Chicken di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Kerjasama Malaysia, Jepun bantu usahawan tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan Jepun dalam mempromosi serta membantu usahawan tempatan memperluas kehadiran di peringkat global.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kementerian komited untuk membantu usahawan dari kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran luar negara dan bersaing secara proaktif di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya produk serta perkhidmatan yang dieksport oleh kumpulan PKS berkenaan perlulah memenuhi piawaian penghasilan produk yang tinggi supaya mudah diterima pasaran lain.

“Tumpuan kepada pasaran di Jepun adalah pilihan tepat kerana penduduk negara itu mempunyai kuasa membeli yang tinggi sekali gus dapat menjana peluang perniagaan.

“Apa saja yang dihasil dan dijual pasti akan mendapat sambutan, namun perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah kualiti kerana ia akan memberikan lebih keyakinan kepada pembeli.

“Dalam hal ini, kita bukan hanya tertumpu kepada produk makanan dan minuman saja, namun ia lebih meluas meliputi perkhidmatan dan pakaian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan produk ayam salai, Miami Grill Smoked Chicken di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Setiausaha Kedua Bahagian Pertanian, Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar Kedutaan Jepun di Malaysia, Michiko Nishikawa.

Mohd Redzuan berkata kementerian juga akan mempergiatkan promosi industri halal Malaysia, yang mana MED akan memeterai Memorandum Kerjasama dalam Bidang Halal (MoC) bersama Jepun pada hujung bulan ini.

“Kita melihat, dengan MOC ini ia akan membuka peluang PKS di Malaysia khususnya bagi produk dan perkhidmatan halal untuk menembusi pasaran halal Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik Tokyo pada 2020.

“Jadi, ia juga adalah inisiatif strategik MED dalam meningkatkan kehadiran PKS tempatan ke Jepun seterusnya menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan konsisten,” katanya.

Beliau berkata, sektor halal juga adalah antara industri yang akan diberi tumpuan penuh oleh MED kerana ia tidak terhad kepada negara Islam malah berpotensi bagi pasaran lain.

“Kementerian juga ketika ini sedang menyemak semula dasar dan inisiatif berkaitan pembangunan usahawan yang bertujuan untuk menjadikan ekosistem sektor ini lebih holistik, bersepadu dan bersasar,” katanya.

183 dibaca
Berita Harian X