Rabu, 21 November 2018 | 12:36pm
NAIB Presiden dan Pengarah Urusan VMware.Inc bagi Asia Tenggara dan Korea, Sanjay K Deshmukh. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Malaysia rasa keselamatan perbankan dalam talian tak selamat - kajian

KUALA LUMPUR: Hampir 46 peratus daripada pengguna Malaysia berasa tidak selamat mengenai langkah keselamatan berhubung aplikasi pembayaran dan e-dompet, menurut Kajian Pengguna Perbankan VMware 2020.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan VMware.Inc bagi Asia Tenggara dan Korea, Sanjay K Deshmukh, berkata jumlah lebih tinggi bagi peranti yang mempunyai sambungan, dengan 53 peratus meragui keselamatan peranti pintar dengan keupayaan pembayaran.

“Kajian itu turut mendapati 70 peratus daripada pengguna Malaysia memilih kaedah pembayaran secara tradisional menunjukkan mereka mempercayai pemindahan antara bank dalam talian, ATM atau tunai.

“Sebaliknya, pengguna di Indonesia, Filipina dan Thailand lebih terbuka kepada peranti yang mempunyai sambungan sebagai kaedah baharu pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 82 peratus daripada pengguna Malaysia yang dikaji menyimpan butiran akaun bank sekurang-kurangnya di satu hingga enam aplikasi, dan hanya 25 peratus mengamalkan keselamatan siber yang baik dengan menggunakan kata laluan berbeza untuk semua akaun mereka, yang meletakkan mereka, bank dan institusi kewangan pada risiko penipuan dan kerugian kewangan yang lebih besar.

“Kadar penggunaan tanpa tunai di Malaysia semakin meningkat, dengan urus niaga e-pembayaran per kapita meningkat kepada 111 urus niaga per kapita pada 2017 dan diunjurkan mencecah 200 urus niaga per kapita pada 2020, menurut Bank Negara,” katanya.

Deshmukh berkata, bidang yang boleh dipertingkatkan dalam kaedah pembayaran digital termasuklah ketelusan dalam dasar serta terma dan syarat yang dapat difahami; keselamatan privasi data dan penggunaan data peribadi yang beretika; serta cepat menjawab pertanyaan atau menyelesaikan masalah.

“Dalam konteks ini, bank dan institusi kewangan mempunyai keperluan untuk meningkatkan pertahanan mereka dalam menghadapi kesangsian pengguna kepada kaedah pembayaran baharu dan amalan keselamatan siber pengguna yang lemah," katanya. - BERNAMA

381 dibaca
Berita Harian X