Rabu, 14 November 2018 | 5:47pm

Festival Jualan 11.11 dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Trend pembelian secara atas talian kini semakin berkembang dan ia jelas terbukti apabila Festival Jualan 11.11 yang dianjurkan pada Ahad lalu terus mendapat sambutan hangat.

Aktiviti promosi jualan besar-besaran selama 24 jam itu menyaksikan kebanyakan peserta e-dagang yang menyertai inisiatif terbabit mencatatkan peningkatan daripada aspek carian, trafik pengguna, muat turun aplikasi dan transaksi jualan di laman web dan aplikasi masing-masing.

Lazada Malaysia, destinasi jualan dan beli-belah di Malaysia mencatatkan rekod baharu dalam sembilan jam pertama bagi Festival Beli-Belah 11.11 Lazada apabila berjaya mencapai jumlah jualan lebih baik berbanding jualan pada 11.11 tahun lalu.

Pada tempoh puncak acara terbabit, Lazada menyaksikan peningkatan melebihi 3,000 transaksi jualan setiap minit dengan penjual atau pedagang teratas mencatatkan purata 60 kali ganda jualan melebihi jualan pada hari biasa.

Selama lebih 24 jam, #MyLazada1111 menjadi topik utama dalam kalangan pengguna internet di Malaysia manakala aplikasi mudah alih Lazada mencatatkan muat turun paling banyak.

Prestasi itu adalah sebahagian daripada ledakan pertumbuhan Lazada di mana lebih daripada 20 juta pengguna di seluruh Asia Tenggara melayari dan merebut tawaran menarik di laman web dan aplikasi mudah alih Lazada.

Bagi Shopee Malaysia, peneraju e-dagang di Asia Tenggara dan Taiwan turut mencatatkan kejayaan Shopee 11.11 Big Sale di mana ia mengatasi rekod tahun lalu apabila merekodkan 11 juta tempahan dalam tempoh 24 jam iaitu peningkatan 4.5 kali berbanding 2017.

Jumlah lawatan juga mencecah lebih 42 juta merentasi semua kategori dan sebanyak 58,000 item paling tinggi dijual dalam tempoh seminit.

Pada 11 November lalu, semua penjual dan jenama teratas mengambil bahagian menikmati peningkatan 716 kali dalam tempahan dan purata lebih 750 peratus dalam trafik.

Lebih daripada 90 peratus pesanan dilakukan melalui aplikasi mudah alihnya di mana ia menjadi faktor utama untuk Shopee 11.11 Big Sale.

Sementara itu, 11street mencatatkan peningkatan sebanyak enam kali bagi nilai dagangan kasar (GMV) berbanding kadar purata harian pada 2018 dan dua kali ganda daripada nilai yang dicapai pada tahun lalu.

Jumlah tempahan bagi kempen Shopping Madness 11.11 pada tahun ini meningkat tiga kali ganda berbanding angka purata tempahan harian pada hari biasa dan 2.6 kali ganda berbanding 2017.

Selain peningkatan dalam jumlah tempahan, pelanggan 11street juga mencatatkan purata perbelanjaan hampir RM300.

Berita Harian X