Jumaat, 9 November 2018 | 4:56pm
Dr Ong Kian Ming (tengah) hadir pada Dialog Belanjawan 2019 dan Industri 4.0 di Seri Kembangan, hari ini. - Foto Rosela Ismail

MITI yakin pelabur akan terus ke Malaysia

SERI KEMBANGAN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yakin pelabur asing akan terus membuat pelaburan di Malaysia, meskipun ada kebimbangan terhadap penarafan kredit negara, kata Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming.

“Penarafan kredit negatif kepada Malaysia sama sekali tidak akan menjejaskan aliran masuk pelaburan asing kerana sasaran defisit yang lebih besar itu hanya sementara,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Belanjawan 2019 dan Industri 4.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan firma penarafan antarabangsa, Moody's Investors Service yang menjelaskan bahawa sasaran defisit fiskal lebih tinggi dan peningkatan pergantungan terhadap hasil berkaitan minyak yang tidak menentu akan melemahkan profil fiskal negara.

Moody’s sedang menilai Malaysia sebagai gred pelaburan A3 dengan prospek yang stabil.

Kerajaan menetapkan sasaran defisit belanjawan sebanyak 3.7 peratus tahun ini, jauh lebih besar daripada sasaran asal, iaitu 2.8 peratus .

Ia selepas kerajaan berkata ia perlu membelanjakan lebih daripada anggaran untuk hutang perkhidmatan dan bayaran balik cukai pentadbiran yang sebelumnya tidak dibayar.

Kerajaan juga bercadang untuk mengambil dividen yang besar daripada Petronas untuk membayar balik hutang daripada cukai input terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kian Ming berkata, kerajaan juga tidak mengharapkan dividen khas daripada PETRONAS selama lima tahun lagi.

“Ia hanya untuk jangka pendek dan sementara bagi menampung kekurangan pembayaran balik GST,” katanya.

93 dibaca
Berita Harian X