Jumaat, 9 November 2018 | 3:47pm
KETUA Pegawai Eksekutif Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd, Hanifah Hashim. - Foto Halim Salleh

Defisit belanjawan tinggi beri tekanan kepada ringgit

KUALA LUMPUR: Defisit belanjawan kerajaan yang lebih tinggi akan menjadikan ringgit mudah terdedah kepada tekanan jangka pendek berikutan kebimbangan mengenai prospek untuk Malaysia dan ketidakpastian dalam ekonomi global.

Ketua Pegawai Eksekutif Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd, Hanifah Hashim, berkata perkembangan itu mungkin membawa kepada aliran keluar modal bersih berterusan dan tidak menggalakkan pelabur luar pesisir daripada melabur di Malaysia.

"Di samping itu, dengan pergantungan yang lebih tinggi terhadap dividen PETRONAS untuk membiayai perbelanjaan kerajaan, kami percaya ringgit mungkin mengalami turun naik yang lebih tinggi kerana peserta pasaran modal sekali lagi mengaitkan harga minyak mentah yang sangat tidak stabil kepada hasil berkaitan minyak kerajaan, sama dengan tempoh 2010-2016," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia Franklin Templeton berkata sasaran defisit belanjawan yang lebih tinggi daripada yang dijangka diumumkan pada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2018, dijangka menimbulkan ketidakstabilan bagi pasaran dalam jangka pendek.

Katanya, pelan pengukuhan fiskal pada 2019 pada 3.4 peratus, 2020 pada 3.0 peratus, 2021 pada 2.8 peratus dan tahun-tahun berikutnya sekitar 2.0 peratus boleh menyebabkan penilaian semula penarafan kredit Malaysia.

Bagaimanapun, Hanifah berkata Belanjawan 2019 akan menyusun semula kedudukan fiskal Malaysia menerusi pelaksanaan pelbagai langkah sukar yang bertujuan untuk mengurangkan defisit fiskal, di samping menumpukan kepada keperluan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan telah mengakui keperluan untuk menyeimbangkan dan jika dilaksanakan dengan baik, belanjawan itu dapat meningkatkan peluang pelaburan, merangsang sentimen perniagaan positif dan mendorong permintaan pengguna.

"Kami yakin bahawa Belanjawan 2019 adalah rejim jangka pendek yang diperlukan untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang betul untuk menghadapi cabaran akan datang.

"Ketika Belanjawan 2019 memfokuskan semula ekonomi, kita mungkin melihat beberapa kesan negatif ke atas pasaran kewangan. Bagaimanapun, kami yakin kerajaan berada di landasan yang betul dengan secara sistematik mengurangkan defisit fiskal dan bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang mapan," katanya.

Sementara itu, Hanifah berkata, beliau menjangka pasaran bon tempatan akan terjejas untuk baki 2018, berikutan penerbitan bon kerajaan yang lebih tinggi daripada jangkaan, sejajar dengan defisit fiskal yang lebih tinggi sebanyak 3.7 peratus.

Katanya, walaupun Franklin Templeton menjangka hasil bon kerajaan meningkat dalam jangka pendek, rancangan untuk penyatuan fiskal pada 2019 akan menyaksikan terbitan bon kerajaan yang lebih rendah tahun depan dan seterusnya.

"Ini mungkin menawarkan sedikit kestabilan kerana potensi pengetatan hasil pada masa akan datang, terutama jika pasaran bon mula didiletakkan harga dalam potensi pengurangan daripada kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM), untuk menyokong pertumbuhan," kata Hanifah.

355 dibaca
Berita Harian X