Jumaat, 9 November 2018 | 2:36pm
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kadar pengangguran September susut

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran pada September 2018 turun 0.1 peratus kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada September, bilangan penganggur seramai 516,400 orang, menurun 8,600 orang berbanding 525,000 orang pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, bagi penyertaan tenaga buruh pada September 2018 pula, kadarnya naik 0.1 mata peratus kepada 68.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jelasnya, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.6 mata peratus kepada 67.9 peratus pada September 2018.

Mohd Uzir berkata, bilangan tenaga buruh pada September 2018 meningkat 2.6 peratus kepada 15.44 juta orang berbanding 15.06 juta orang pada September 2017.

“Dalam tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat kepada 14.93 juta orang berbanding 14.54 juta orang pada September 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

86 dibaca
Berita Harian X