Jumaat, 9 November 2018 | 2:24pm
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohanis Shukri

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 2.3 peratus

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 2.3 peratus pada September 2018 berbanding bulan yang sama sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan pada bulan berkenaan disokong oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4.8 peratus) dan indeks elektrik (4.2 peratus), manakala indeks perlombongan mencatatkan penyusutan sebanyak 6.2 peratus.

Output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.8 peratus pada September selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada Ogos, dipacu oleh sub-sektor utama seperti produk peralatan elektrik dan elektronik (5.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.8 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (6.9 peratus).

“Output elektrik meningkat sebanyak 4.2 peratus pada September selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus pada Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, output sektor perlombongan mencatatkan penyusutan 6.2 peratus pada September berbanding tempoh sama tahun lalu, disebabkan kejatuhan dalam indeks gas asli (-6.2 peratus) dan indeks minyak mentah (-6.3 peratus).

-BERNAMA

35 dibaca
Berita Harian X