Jumaat, 9 November 2018 | 12:52pm
BANGUNAN Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Bank pusat AS kekal kadar faedah

WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedahnya hari ini, namun berada di laluan untuk terus mengetatkan lagi kos pinjaman secara berperingkat, sekali gus memberi petunjuk ekonomi positif yang hanya diganggu oleh pertumbuhan pelaburan perniagaan.

Pelaburan perniagaan menjadi kunci kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan masa hadapan.

Hakikat bahawa ia bergerak sederhana berbanding unjuran Fed, adalah satu peringatan dalam kenyataan dasar yang mencetuskan pertumbuhan pekerjaan dan perbelanjaan isi rumah yang kukuh, dengan aktiviti ekonomi bagi keseluruhannya adalah mantap.

“Pasaran buruh terus meningkat dan aktiviti ekonomi semakin meningkat pada kadar yang kukuh,” kata bank pusat AS itu, sambil membiarkan rancangannya untuk terus meningkatkan kadar secara beransur-ansur.

Fed menaikkan kadar sebanyak tiga kali tahun ini dan dijangka berbuat demikian sekali lagi pada Disember.

Kenyataan itu secara keseluruhan mencerminkan sedikit perubahan dalam pandangan Fed untuk ekonomi sejak mesyuarat dasar terakhir pada September.

Inflasi juga masih kekal mendekati sasaran sebanyak dua peratus, dengan kadar pengangguran menurun serta risiko kepada prospek ekonomi masih dirasakan seimbang.

Bagaimanapun, pembuat dasar menyedari penyederhanaan dalam pelaburan perniagaan, antara komponen penting Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-Reuters

39 dibaca
Berita Harian X