Khamis, 8 November 2018 | 8:01pm

MITI selesai siasatan anti lambakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah melengkapkan siasatan anti lambakan ke atas pengimportan gegelung/kepingan besi bergalvani dari China dan Vietnam susulan petisyen daripada pengeluar domestik.

MITI, dalam kenyataan hari ini, berkata ia mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk meneruskan siasatan ke atas pengimportan besi bergalvani dari negara-negara terbabit.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan langkah sementara, iaitu dalam bentuk duti anti lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti.

Katanya, duti anti lambakan sementara itu daripada -3.33 peratus kepada 16.13 peratus akan dikenakan ke atas import besi bergalvani dari negara-negara terbabit untuk tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 8 November.

MITI berkata, siasatan itu telah dimulakan pada 25 Julai 2018 selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1994 susulan daripada petisyen yang difailkan oleh FIW Steel Sdn Bhd.

Katanya pempetisyen, yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk besi bergalvani, mendakwa pengimportan besi bergalvani dari negara-negara terbabit, dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara terbabit dan telah menjejaskan syarikat tempatan.

“Pihak yang berminat boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan awam mengenai Penentuan Awal dengan mengemukakan permohonan bertulis kepada MITI,” katanya. - BERNAMA

90 dibaca
Berita Harian X