Jumaat, 2 November 2018 | 8:42pm
KERAJAAN mengumumkan tujuh langkah untuk memperkukuhkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). - Foto hiasan

Tujuh langkah perkukuh PKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan tujuh langkah untuk memperkukuhkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bagi memastikan PKS terus berkembang maju dan berdaya saing khususnya bagi industri utama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata PKS merangkumi 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan nadi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan akan menyalurkan dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersil sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

“Kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 18 peratus kepada 17 peratus bagi syarikat yang berpendapatan bercukai sehingga RM500,000 dan PKS dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion melalui pembiayaan oleh EXIM Bank bagi menggalakkan eskport.

Menurutnya, kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta bagi menambahbaik keupayaan industri PKS dalam industri halal untuk meningkatkan eksport dan seterusnya merealisasikan impian Malaysia bagi menjadi hab halal global menjelang 2020.

“Kerajaan juga akan menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh Shariah berjumlah RM1 bilion disediakan terutamanya untuk membiayai pengeksport produk halal oleh institusi kewangan Islam dengan Kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak dua peratus,” katanya.

Guan Eng berkata, Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera di samping peruntukan RM100 juta kepada Tabung Ekonomi Usahawan Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) untuk membiayai usahawan kecil.

Menurutnya, kerajaan juga akan menyediakan RM20 juta untuk pelancaran kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ untuk menyokong produk dan perkhidmatan tempatan.

“Kempen ini akan dilaksanakan di peringkat akar umbi bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk mendapatkan akses ke pasar raya besar, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan.

“Kementerian Kewangan akan memastikan produk dan perkhidmatan tempatan seperti peranti perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa akan mendapat akses yang sama dalam proses perolehan Kerajaan,” katanya.

72 dibaca
Berita Harian X