Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:32pm
PENGARAH Urusan Kumpulannya, Datuk Charon Wardini Mokhzani. - Foto Aziah Azmee

Perlu sokongan kerajaan, swasta capai IR4.0

KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat menawarkan sokongan dalam bentuk pelaburan bagi memastikan sektor perniagaan di negara ini dapat beralih ke Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Charon Wardini Mokhzani, berkata sokongan kewangan penting untuk syarikat tempatan melaksanakan transformasi operasi kepada lebih automasi dan ia untuk mengelakkan bidang berkenaan dikuasai syarikat asing.

“Kita berharap kerajaan serius untuk membawa negara ke arah IR 4.0, manakala industri pula menyokong dari segi pinjaman mudah.

“Syarikat memerlukan pelaburan dalam robotik, kecerdasan buatan (AI) dan operasi berasaskan teknologi kerana tanpa sokongan kewangan ia (IR 4.0) pasti tidak akan berjaya,” katanya kepada selepas sesi bersama media di Kuala Lumpur, semalam.

Charon berkata, meskipun wujud kebimbangan dari segi kadar pengangguran selepas pelaksanaan IR 4.0, namun ia boleh ditangani dengan solusi terbaik termasuk memperkasakan serta memperkemaskan bidang pekerjaan lain seperti pengaturcaraan, kejuruteraan dan reka bentuk robotik.

“Lebih banyak automasi tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dan tenaga kerja sedia ada. Sama seperti perkembangan teknologi lain. Ramai cakap akan hilang pekerjaan, namun perkara ini tidak berlaku secara meluas dan kita berjaya menanganinya.

“Sebab itu kerajaan kini memperkasa bidang latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) kerana ia dapat menampung pekerjaan yang tidak boleh dilakukan secara robotik.

“Kita sedar 450,000 kanak-kanak membesar dan memerlukan pekerjaan bagi tempoh 12 hingga 15 tahun akan datang. Saya berpendapat kita akan dapat menanganinya. Ia menjadi satu cabaran dan kita tidak boleh lari dari IR 4.0 sebab dunia sudah mendahuluinya,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerjasama antara robotik dan manusia juga mampu meningkatkan tahap produktiviti kerja.

“Sebahagian syarikat bersedia untuk menghadapi IR 4.0, sebahagian lagi kurang bersedia dan sebahagian lagi lebih maju ke hadapan. Saya melihat syarikat bermodal besar tidak akan berdepan masalah untuk mempraktikkan revolusi dalam industri.

“Bagi syarikat kecil, bantuan dari sektor awam dan swasta amat penting,” katanya.

53 dibaca
Berita Harian X