Selasa, 23 Oktober 2018 | 3:03pm
Presiden NCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap bertukar dokumen MoU dengan Timbalan Menteri Luar Georgia, Giorgi Sharvashidzedi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Georgia lokasi strategik eksport sawit ke Eropah Timur

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (NCCIM) meninjau kemungkinan menggunakan Georgia sebagai lokasi strategik bagi membolehkan minyak sawit negara dieksport secara lebih meluas ke negara-negara di Eropah Timur.

Ia langkah alternatif awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya penyusutan ketara eksport minyak sawit negara ke Kesatuan Eropah (EU) susulan kepesatan kempen anti minyak sawit dan cadangan pengharaman bahan mentah itu sebagai bahan tambahan dalam penghasilan bahan api bio dalam kalangan negara ahlinya.

Ahli Majlis NCCIM, Don Nazwim Don Najib, menyifatkan akses ke pasaran baharu adalah cara terbaik bagi menangani masalah lebihan stok minyak sawit ketika ini.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan antara NCCIM dengan Timbalan Menteri Luar Georgia, Giorgi Sharvashidze, yang mengetuai delegasi Dewan Perniagaan dan Industri Georgia (GCCI) di sini, hari ini.

Hadir sama Duta Georgia ke Malaysia, Nikoloz Apkhazava; Presiden NCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap dan Naib Presidennya, Datuk Liew Sew Yee.

Terdahulu, beliau mengajukan soalan kepada Sharvashidze berhubung potensi Georgia dijadikan lokasi strategik bagi membolehkan Malaysia meluaskan lagi eksport minyak sawit negara ke negara-negara di Eropah Timur.

Soalan beliau disambut secara positif oleh Sharvashidze dan ia akan dirujuk kepada ahli lembaga GCCI yang berkaitan dengan perkara itu.

Kalangan orang awam di EU masih terus memberi pandangan negatif terhadap minyak sawit atas alasan kaitan komoditi itu ke atas perubahan cuaca, impak alam sekitar dan perlindungan biodiversiti.

Sementara itu, Parlimen Eropah pula mengundi untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam semua bahan api bio menjelang 2020.

Ia menyebut kebimbangan berhubung alam sekitar dan hanya baru-baru ini cadangan untuk menguatkuasakannya pada 2021 dibatalkan.

Perkara itu diputuskan dalam rundingan tiga penjuru antara Parlimen EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun lalu, selepas mendengar bantahan daripada negara pengeluar utama minyak sawit, seperti Indonesia dan Malaysia.

Pada pertemuan hari ini, Sharvashidze turut mempelawa syarikat Malaysia melabur di Georgia, khususnya dalam segmen hospitaliti, logistik, tenaga, pelancongan, antaranya.

Pada majlis sama Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai kedua-dua dewan perniagaan itu bagi mengorak langkah kepada kerjasama pada masa depan.

Georgia yang terletak di Laut Hitam itu berada di persimpangan antara Asia Barat dan Eropah Timur.

15 dibaca
Berita Harian X