Isnin, 22 Oktober 2018 | 2:50pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahma (dua dari kanan) hadir pada Pelancaran Kongres Dunia Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Pembangunan semula Highland Tower masih dalam perancangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih dalam peringkat penilaian untuk menentukan sama ada cadangan pembangunan semula kawasan Highland Tower sebagai taman rekreasi boleh dilaksanakan atau tidak.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata berdasarkan perancangan pada masa ini, kawasan itu tidak akan membabitkan sebarang struktur pembinaan, dan hanya dijadikan sebagai ruang terbuka.

"Kawasan itu perlu dikaji secara menyeluruh kerana mungkin terdapat beberapa faktor yang masih belum diselesaikan.

"Kami tidak tahu sama ada kawasan itu selamat, dan kami tidak akan mengambil risiko (untuk lakukan pembinaan) kerana tiada keperluan untuk melaksanakan pembinaan di kawasan terbabit.

"Kenapa perlu mengambil risiko (pembangunan) di situ sedangkan terdapat lagi kawasan di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Dari segi keutamaan, kami akan elak daripada kawasan berkenaan selagi boleh," katanya katanya pada Pelancaran Kongres Dunia Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) 2018, di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kawasan kondominium Highland Tower yang terbiar sejak 25 tahun lalu, susulan tragedi yang mengorbankan 48 nyawa penghuninya, akan dibangunkan semula sebagai taman rekreasi.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Jawatankuasa Pembangan Semula Highland Tower dalam usaha menjayakan matlamat pembangunan semula kawasan berkenaan.

"Setakat ini kami sudah mengenal pasti kira-kira 150 unit di Highland Tower. Kami juga sudah mengenal pasti pemilik hartanah di situ dan kini dalam perbincangan bersama Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan kajian berhubung struktur tanah berkenaan.

"Selepas kajian dijalankan, kami akan mengadakan mesyuarat dan bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak terbabit.

"Dalam perancangan, memang ada pemaju hartanah yang berminat untuk membangunkan kawasan itu sebagai taman rekreasi," katanya.

Berita Harian X