Rabu, 17 Oktober 2018 | 4:50pm

Cukai baharu jejas sentimen pelabur

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih membiarkan pelabur berteka-teki mengenai cukai baharu yang akan diperkenalkan pada Bajet 2019.

Buat masa sekarang, pasaran menanti sesuatu yang paling buruk, cukai keuntungan modal dan perbelanjaan.

Levi ke atas pulangan daripada pelaburan modal boleh memburukkan lagi kemerosotan pasaran saham.

Indeks penanda aras saham belum lagi pulih daripada penurunan terbesar dalam tempoh empat bulan, selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perancangan cukai.

Levi perbelanjaan pula akan terus mengekang pertumbuhan ekonomi, yang susut ke tahap paling perlahan dalam tempoh lebih setahun.

“Cukai pasti akan diperkenalkan khususnya kepada golongan kaya dan ke atas penggunaan,” kata Pengarah Fortress Capital Asset Management Sdn Bhd, Geoffrey Ng.

Cukai keuntungan modal ‘pastinya mencetuskan kebimbangan menyeluruh dalam kalangan pelabur’, namun ia berkemungkinan tidak menjadi kenyataan kerana kebanyakan pasaran di Asia Tenggara tidak mempunyai cukai sedemikian, katanya.

Semuanya akan terjawab pada 2 November ini, apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangka mengumumkan perancangan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dalam Bajet 2019.

Malaysia sedang mencari sumber pendapatan baharu dalam usahanya mengisi jurang yang ditinggalkan oleh penggantian cukai pengguna menyeluruh dengan levi lebih bersasar.

Kerajaan juga dibebani dengan hutang dan liabiliti melebihi RM1 trilion, diburukkan lagi lagi oleh jaminan kerajaan ke atas nota diterbitkan oleh dana bermasalah, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pertumbuhan ekonomi perlahan mengehadkan lagi pilihan negara. Bank pusat menurunkan unjuran tahun ini kepada kira-kira lima peratus, berbanding 5.9 peratus pada 2017, selepas ekonomi berkembang perlahan kepada 4.5 peratus pada suku kedua, yang gagal menepati anggaran semua ahli ekonomi.

Sementara itu, bank pusat menurunkan unjuran tahun ini kepada kira-kira 5.0 peratus, daripada 5.9 peratus pada 2017, selepas pertumbuhan ekonomi yang perlahan kepada 4.5 peratus pada suku kedua.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 0.2 peratus hari ini, kenaikan terkecil dalam kalangan pasaran di Asia Tenggara, berbanding kenaikan 0.8 peratus Indeks Pasifik MSCI.

Pasaran susut 3.1 peratus tahun ini di tengah-tengah aliran keluar dana asing berjumlah AS$2.4 bilion.

Kajian daya maju menyeluruh ke atas cukai keuntungan modal adalah perlu berikutan ‘kesan besarnya’ kepada pasaran kewangan.

Pengurus Dana BNP Paribas Asset Management, Cynthia Lum, berkata meningkatnya tumpuan kerajaan terhadap pendigitalan, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ada cukai baharu diperkenalkan dalam sektor digital dan e-dagang.

Kerajaan hanya boleh memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai warisan dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika mereka dapati ia boleh dilaksanakan, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, dengan memetik sumber.

Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong, berkata cukai terhadap keuntungan modal akan menyebabkan Malaysia kurang menarik dan pelabur akan mencari peluang dalam pasaran lain.
-Bloomberg

43 dibaca
Berita Harian X