Isnin, 15 Oktober 2018 | 8:23pm
DATUK Seri Mohd Redzuan Md Yusof - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

Bajet 2019 tumpu usaha perkasa usahawan PKS

KUALA LUMPUR: Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November ini akan menumpukan kepada usaha pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata kementeriannya komited untuk memperkasakan dan menambah baik keusahawanan, sekali gus meningkatkan keupayaan PKS ke tahap lebih tinggi.

Katanya, dalam tempoh 14 tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS telah mengatasi ekonomi keseluruhan secara konsisten dengan mencatatkan purata 6.6 peratus setahun berbanding pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 5.1 peratus setahun.

"Pada 2017, PKS telah menyumbang sebanyak 37.1 peratus kepada KDNK, 66 peratus kepada guna tenaga dan 17.3 peratus kepada eksport negara.

"Sumbangan PKS kepada ekonomi negara dijangka akan menjadi lebih signifikan bukan hanya sebagai pendorong tetapi pemacu utama pertumbuhan.

"Justeru, segala bentuk peruntukan pembangunan keusahawanan yang ada, akan diguna sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengasas Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis), Datuk Lawrence Low dan Timbalan Ketua Eksekutif (I), SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

PSK MED ditubuhkan berkonsep pusat fizikal dan berperanan sebagai pusat rujukan setempat untuk PKS mendapatkan maklumat, mengumpul maklum balas dan memberi khidmat nasihat kepada usahawan.

Mohd Redzuan berkata, pusat ini turut bertindak sebagai pemudahcara kepada usahawan dan orang awam yang menyokong kepada pembangunan usahawan di Malaysia.

"PKS dan bakal usahawan boleh dapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi di bawah MED termasuk SME Corp, SME Bank, PUNB, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Insken, Uda Holdings, Maktab Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Selain pusat di Hab PKS, ada empat lagi pusat fizikal akan dibuka di Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, ini juga adalah antara usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh MED untuk memacu pembangunan PKS.

"Saya ingin menggesa agar usahawan mengambil peluang daripada pelbagai program pembangunan yang ditawarkan kerajaan menerusi kementerian dan agensi yang terbabit," katanya.

Selain daripada pusat fizikal PSK MED di Hab PKS SME Corp, PKS juga boleh mengakses maklumat mengenai insentif dan program pembangunan PKS melalui laman web, smecorp.gov.my serta media sosial SME Corp Malaysia iaitu di Facebook, Instagram dan Twitter.

Baru-baru ini, MED telah melancarkan talian bebas tol 1300881020 yang beroperasi sepenuhnya pada 28 September lalu sebagai pemudahcara dalam memberi khidmat nasihat kepada usahawan dan bakal usahawan.

Berita Harian X