Selasa, 9 Oktober 2018 | 4:37pm
LIM Kar Aik (tengah) pada pelancaran WeTix di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

WeTix mahu tambah jumlah pengendali e-dompet

KUALA LUMPUR: WeTix, platform tiket filem pertama di Malaysia merancang menjalin kerjasama dengan enam pengendali e-dompet sebagai usaha dalam memperluas perkhidmatan yang ditawarkannya.

Pengasasnya, Lim Kar Aik, berkata inisiatif itu adalah bagi menyediakan perkhidmatan pembelian tiket dalam pelbagai platform, sekali gus memudahkan urusan orang ramai.

Beliau berkata, pengendali e-dompet itu antaranya termasuklah Touch n Go, Maybank QR, Boost, Presto serta WeChat Pay yang dijangka direalisasikan sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Kami mempunyai kira-kira 100,000 pelanggan setia ketika ini dan menerusi kerjasama dengan pemain dalam segmen e-dompet ini, ia akan membantu untuk meluaskan pengguna serta jenama WeTix.

“Malah, kami juga berharap ia dapat membantu pengguna yang gemar menonton filem di pawagam dapat menggunakannya dengan selesa serta menjanjikan kepuasan,” katanya pada sidang media pelancaran WeTix di sini, hari ini.

Majlis itu pada masa sama menyaksikan perkongsian strategik antara WeTix bersama pawagam tempatan iaitu Golden Screen Cinemas (GSC), MBO Cinemas dan mmCineplex.

Selain itu, ia turut mengumumkan bahawa penawaran perkhidmatan terbabit boleh dilaksanakan menerusi e-dompet WeChat Pay, yang kini diaktifkan untuk semua pengguna WeChat di Malaysia.

Kar Aik berkata, matlamat WeTix juga adalah untuk mengurangkan kos operasi luar talian pawagam dan mempermudahkan proses pelanggan memilih, seterusnya membeli tiket filem.

“Pelanggan juga boleh membuat perbandingan masa nyata antara filem pilihan mereka di pawagam pilihan dan membuat pembayaran menerusi e-dompet WeChat Pay,” katanya.

Sementara itu, sempena pelancaran dan pengumuman terbabit, WeChat Pay melancarkan kempen promosi bagi pembelian tiket yang dibuat melalui WeTix menerusi, e-dompetnya.

Selain itu, WeTix juga secara aktif menganjurkan pelbagai jenis pertandingan tiket filem dan cenderamata dengan kerjasama pawagam dan pengedar filem dalam negara dalam mempelbagaikan operasi perniagaannya.

Tambah Kar Aik, buat masa ini pengguna hanya boleh melihat senarai filem dan membuat pembelian dari tiga pawagam itu sahaja memandangkan pemain lain akan menyertai dalam masa akan datang.

“Kami juga sedang berbincang dengan beberapa pawagam lain dalam merancakkan kehadirannya mereka menerusi platform WeTix ini,” katanya.

36 dibaca
Berita Harian X