Selasa, 2 Oktober 2018 | 2:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah. - Arkib NSTP

Pembayar cukai 40 tahun ke bawah meningkat

BANGI: Individu berumur 40 tahun ke bawah yang mendaftar sebagai pembayar cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkat bagi Tahun Taksiran 2017 kepada 3.615 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau berkata, hanya 3.585 juta pembayar cukai daripada golongan usia itu berdaftar dengan LHDN bagi Tahun Taksiran 2016 dan 3.553 juta pembayar cukai berdaftar bagi Tahun Taksiran 2015.

"Ini menunjukkan program pendidikan cukai dilaksanakan LHDN membuahkan hasil serta berjaya mencapai objektif untuk meluaskan asas percukaian di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada perasmian Kem Cerdik Cukai 2018 di Akademi Percukaian Malaysia di sini hari ini.

Kem itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Dalam ucapannya, Sabin berkata cukai langsung iaitu cukai individu dan korporat kekal komponen ​​​​​​​terbesar dan terpenting dalam kutipan hasil kerajaan Persekutuan iaitu menyumbang kira-kira 42.6 peratus kepada hasil ​​​​​​​negara dalam bajet kerajaan Persekutuan 2018.

Katanya, jumlah peratusan itu membuktikan betapa pentingnya sumbangan cukai langsung kepada dana pembangunan negara dan ia berkait rapat dengan ilmu percukaian bagi membolehkan rakyat membudayakan, seterusnya meningkatkan pematuhan cukai ​​​​​​ secara sukarela.

Sementara itu, Amiruddin dalam ucapannya berkata, pembayar cukai persendirian atau cukai individu di Malaysia adalah jauh ​​​​​​​lebih rendah berbanding negara maju.

"Kementerian Kewangan akan memastikan setiap cukai yang dibayar digunakan secara optimum supaya pembayar cukai merasakan ​​​​​​​wangi yang dibayar digunakan sebaik mungkin selain mendapat manfaat nilai daripadanya. Sehubungan itu, lebih ​​​​​​​banyak pihak akan membayar cukai secara sukarela," katanya.

Seramai 159 pelajar Tingkatan Enam dan 40 guru pembimbing menyertai edisi kelapan Kem Cerdik Cukai kali ini bertemakan 'Pendidikan Percukaian Ilmu Seumur Hidup', bertujuan menjadikan generasi muda celik ilmu percukaian sebelum melangkah ke alam pekerjaan. - BERNAMA

Berita Harian X