Khamis, 20 September 2018 | 6:11pm
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang (sembilan dari kanan) pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Cabutan Bertuah Pameran MATTA, hari ini. NSTP/ Hafiz Sohaimi

MATTA raih jualan RM210 juta

KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang baru berlangsung awal bulan ini berjaya meraih nilai jualan keseluruhan sebanyak RM210 juta.

Pameran berkenaan yang diadakan pada 7 hingga 9 September lalu juga berjaya menarik kunjungan lebih 93,084 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang walaupun jumlah pengunjung yang dicatatkan berkurangan 10 peratus daripada edisi Mac lalu, pihaknya masih berjaya mengekalkan kuasa membeli yang sama.

“Penurunan jumlah pengunjung itu bukan dipengaruhi oleh faktor ekonomi seperti ringgit yang lemah atau sebagainya sebaliknya ia disebabkan cuti hujung minggu yang panjang.

“Kami yakin dapat kembali mencatat peningkatan jumlah pengunjung pada edisi akan datang,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Cabutan Bertuah Pameran MATTA, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan laporan rumusan yang dibuat pihaknya, destinasi domestik yang menjadi tumpuan adalah Kuala Lumpur diikuti oleh Negeri Sembilan dan Perak.

“Manakala bagi destinasi antarabangsa, pilihan utama adalah Jepun, China, Korea Selatan, Turki dan juga Malaysia,” katanya.

Pameran MATTA edisi berikutnya akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 15 hingga 17 Mac depan.

Sementara itu, serentak dengan Pameran MATTA berkenaan turut diadakan Pertandingan Cabutan Bertuah bertujuan memeriahkah acara berkenaan di samping menarik lebih ramai kunjungan ke pameran berkenaan.

Kok Liang berkata jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan amat memberangsangkan.

“Jumlah keseluruhan peserta adalah sebanyak 5,684 dengan 170,999 penyertaan bagi kategori antarabangsa dan 29,945 penyertaan bagi kategori domestik dengan jumlah perbelanjaan lebih RM54 juta,” katanya.

Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang utama kategori domestik adalah baucar penerbangan bernilai RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 oleh MATTA dan 135 hadiah lain bernilai kira-kira RM50,000.

Manakala hadiah bagi pemenang bertuah kategori antarabangsa pula adalah tiket penerbangan dua hala kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke London untuk seorang, tajaan Malaysia Airlines.

Hadiah lain termasuklah lebih 30 tiket penerbangan ke destinasi antarabangsa, pakej percutian dan pakej persiaran kapal mewah bernilai lebih RM100,000.

Berita Harian X