Jumaat, 14 September 2018 | 4:07pm

Jualan pavilion Malaysia di CAEXPO dijangka meningkat

NANNING: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan jualan pavilion Malaysia akan memecah sasaran RM450 juta pada Ekspo ASEAN China ke-15 (CAEXPO) di sini

Konsul Perdagangan MATRADE Zaimah Osman berkata sejak ekspo itu bermula pada Rabu lalu, pavilion Malaysia telah memeterai potensi jualan dan urus niaga bernilai RM268.14 juta.

"Durian, produk kecantikan, kopi dan sarang burung adalah antara jualan yang paling mendapat sambutan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau menambah, pavilion Malaysia juga mendapat kunjungan yang paling banyak.

Mengulas lanjut, Zaimah berkata, sejumlah 33 syarikat sarang burung Malaysia berjaya menembusi pasaran China berikutan permintaan yang kukuh.

"Bagaimanapun, kita juga mahu produk-produk Malaysia lain memasuki China, yang juga ekonomi kedua terbesar di dunia. Mereka yang berminat untuk mengembangkan perniagaan ke China boleh menghubungi pejabat kami di Beijing, Shanghai, Hong Kong, Guangzho dan Chengdu," katanya.

MATRADE juga telah mengadakan lebih daripada 1,000 sesi padanan perniagaan di CAEXPO membabitkan syarikat Malaysia dan China.

Berita Harian X