Khamis, 13 September 2018 | 6:07pm

Shopee catat rekod jualan tertinggi pada 9 September

KUALA LUMPUR: Platform dagangan elektronik di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee mencatat rekod jualan tertinggi pada acara beli-belah tahunan serantau terbesarnya, Shopee 9.9 pada 9 September lalu.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata acara berkenaan mencatat lebih 5.8 juta tempahan dalam tempoh sehari, tiga kali ganda daripada hari biasa.

Selain itu, katanya lebih 15 juta barangan juga dijual dalam tempoh 24 jam.

Ho berkata, prestasi jualan pada acara berkenaan tahun ini jauh mengatasi jangkaan yang ditetapkan dan pihaknya berbangga kerana dapat mencatat jualan yang memecah rekod tahun sebelumnya dengan sokongan pengguna setia Shopee.

“Di Malaysia, Shopee 9.9 Super Shopping Day mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan segmen Kesihatan dan Kecantikan; Kediaman dan Gaya hidup; Aksesori dan Mudah alih; Bayi dan Permainan serta Fesyen Wanita muncul sebagai kategori yang mencatatkan jualan tertinggi.

“Selain itu, antara jenama terkemuka yang mendapat sambutan bagi SuperBrands Festival termasuklah Watsons, Reckitt Benckiser, Nestle, TMT by Thundermatch dan Loreal

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam membantu menjadikan acara Shopee 9.9 Super Shopping Day sebagai acara yang amat berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada tarikh berkenaan, sejumlah 99,999 barangan dijual di seluruh rantau ini dalam tempoh kurang dari sembilan minit

53 dibaca
Berita Harian X