Khamis, 13 September 2018 | 2:53pm
LIM Guan Eng

Malaysia mampu kekal pertumbuhan ekonomi lima peratus

HONG KONG: Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan ekonominya lima peratus pada tahun ini menerusi langkah kerajaan menyemak semula projek mega dan menyelesaikan hutang besar yang ditinggalkan kerajaan terdahulu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bulan lalu, Malaysia mengurangkan unjuran pertumbuhan 2018 kepada lima peratus, daripada 5.5-6.0 peratus dan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan pada suku kedua iaitu 4.5 peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan lebih perlahan itu juga menandakan risiko ekonomi yang dihadapi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi pilihan raya yang mengejutkan pada Mei lalu untuk menerajui negara ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara itu.

Guan Eng, seorang bekas jurubank dan akauntan bertauliah, pada Forum Pelabur CLSA di Hong Kong berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula projek pembangunan yang mahal kerana Malaysia tidak mempunyai ‘wang yang cukup untuk membiayainya’.

"Kami mahu melihat pengurangan (hutang) dalam tempoh tiga tahun dan pada masa yang sama memastikan mampu membayar hutang ini, kami tidak akan gagal (membayarnya).

“Apabila kami berbicara mengenai mahu mengikat perut, merasionalisasikan kos, maka kami sedang melakukannya,” katanya.

Mengenai keperluan untuk langkah-langkah fiskal yang sukar, Guan Eng berkata ia adalah sesuatu yang menyakitkan, namun perlu dilaksanakan.

“Saya bersedia menjadi menteri kewangan paling tidak popular dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Malaysia juga tidak akan menjadi mangsa daripada kesan jangkitan pasaran baharu muncul (EM) disebabkan perdagangan dan lebih akaun semasa yang kukuh serta rizab tukaran asing yang tinggi.

“Saya fikir Malaysia tidak akan terbabit dengan kesan jangkitan yang dipanggil sebagai risiko mata wang EM ini. Saya yakin yang kami mampu mengharungi tempoh sukar ini, jika ada,” katanya.

-Reuters

Berita Harian X