Ahad, 2 September 2018 | 3:09pm

TRX Lifestyle Quarter siap diduduki 2020

KUALA LUMPUR: Lendlease, rakan usaha sama pembangunan berkeluasan 6.88 hektar, TRX Lifestyle Quarter, menyasarkan untuk pusat berkenaan diduduki sepenuhnya pada 2020.

Pengarah Urusan Lendlease Malaysia, Stuart Mendel, berkata pembangunan berkenaan mengandungi kediaman, hiburan, rekreasi, taman awam, hotel dan runcit dengan segmen runcit pada masa ini sebanyak 26 peratus dipajak oleh penyewa utamanya.

“Antara penyewa utama termasuk pengendali gedung beli belah yang berasal dari Jepun. Kami pada masa ini sedang bekerja dengan mereka bagi membawakan konsep baharu gedung beli belah ke Kuala Lumpur. Kami juga sedang berkerja dengan sebuah kumpulan perladangan ternak bagi membuka sebuah pasar raya.

“Kami juga sedang bekerja dengan Golden Screen Cinemas untuk bahagian hiburan yang akan menawarkan pengalaman unik kerana pawagam berkenaan terletak bersebelahan taman yang membolehkan suasana permaidani merah ditawarkan untuk tayangan perdana filem,” katanya kepada Bernama.

Mendel berkata, Lendlease akan terus berkerja dengan penyewa supaya mereka juga beterusan komited terhadap projek ini dan membantu dari segi reka bentuk ruang mereka supaya sesuai dengan konsep keseluruhan.

Penyewa terdiri daripada campuran jenama tempatan dan antarabangsa, tetapi majoriti pemilikan sebenar sewaan adalah syarikat tempatan

TRX Lifestyle Quarter adalah pembangunan yang disifatkan Lendlease sebagai projek regenerasi perbandaran terbesar yang mempunyai potensi untuk menjadi sambungan semula jadi kepada kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur kerana ia mendapat hubungan yang baik dengan pengangkutan awam, akses jalan raya dan mesra pejalan kaki.

“Reka bentuk pembangunan ini agak canggih. Kami mahukan ia menjadi mampan dalam jangka panjang kerana kami bukan sekadar membina pusat beli belah.

“Ideanya adalah untuk ia menjadi kawasan awam utama yang mana komuniti boleh datang dan beriadah,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekuitf Lendlease untuk Asia, Tony Lombardo berkata, pembangunan berkenaan adalah antara projek regenerasi perbandaran syarikat berkenaan yang terbaik, melihat kepada lokasinya.

Beliau percaya TRX Lifestyle Quarter akan memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan runcit untuk Malaysia.

“Kami memilih projek ini kerana Malaysia adalah antara teras pasaran kami dan percaya Kuala Lumpur adalah gerbang utama bandar, secara global.

“Dengan populasi muda dan berkembang, kita pasti akan melihat keperluan yang stabil untuk hartanah dari masa ke masa,” tambahnya.

Berita Harian X