Selasa, 28 Ogos 2018 | 4:29pm

SC pantau Lavida Coin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang memantau maklumat mengenai pelancaran mata wang kripto Lavida Coin bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang sekuriti.

Badan pemantau pasaran modal negara itu berkata, orang awam dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan, terutama yang membabitkan mata wang kripto dan token digital.

“Kami sudah pun menerima pertanyaan mengenai penerbitan kertas putih bagi penawaran Lavida Coin kepada orang ramai,” katanya pada kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kertas putih itu mendakwa Lavida Coin ditawarkan sebagai inisiatif pembiayaan swasta bagi pengumpulan modal dan dana bernilai, untuk pembangunan tiga projek dan hanya pembiayaan ramai yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan terbabit.

Sebelum ini, Datuk Seri Vida (DSV) dilaporkan memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga awal yang ditetapkan, iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).

Ahli perniagaan dan selebriti itu juga mempelawa orang ramai yang berminat untuk membeli Lavida Coin dengan harga serendah RM99 bagi 30 unit Lavida Coin sehingga RM9,900 (3,000 Lavida Coin). Urus niaga dijalankan dalam ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Brunei dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Model perniagaan Lavida Coin itu menyasarkan pengumpulan dana berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.14 bilion) bagi membiayai tiga projek iaitu, saluran hiburan atas talian (AS$1 bilion); saluran pembayaran LavidaPay (AS$100 juta) dan pembinaan hab komuniti Islam yang berpusat di masjid (AS$400 juta).

Mata wang kripto atau mata wang digital ialah sebahagian daripada evolusi mata wang maya yang dicipta dan disimpan secara elektronik.

Ia konsep terbaru yang wujud dalam ekonomi global menggunakan konsep kriptografi serta teknologi lejar yang membolehkan pemiliknya membuat pembayaran secara maya untuk barang dan perkhidmatan tanpa campur tangan pihak ketiga seperti bank, sekali gus memudahkan proses serta mengurangkan kos transaksi.

Antara contoh mata wang kripto ialah 'Bitcoin', 'Ethereum', 'Rip-ple' dan 'Nem', namun yang paling popular adalah Bitcoin yang dilancarkan pada November 2008 oleh Nakamoto Satoshi.

Bank Negara Malaysia selaku bank pusat negara menegaskan wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan (legal tender).

Malah, BNM mengulangi pendirian yang Malaysia tidak melarang pelaburan mata wang kripto buat masa ini sebaliknya membiarkan pasaran membuat keputusan mengenainya.

“Mereka yang melabur dalam mata wang kripto mesti mengetahui ia berisiko tinggi,” kata BNM.

Berita Harian X