Rabu, 8 Ogos 2018 | 5:39pm
DATUK Roslan Eusoff (empat dari kiri) Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menandatangan ketika merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Petron di Grand Banquent Residensi UTM. - Foto Amirudin Sahib.

7 universiti sertai program keselamatan jalan raya Petron

KUALA LUMPUR: Petron, antara peneraju syarikat minyak di Malaysia melancarkan program keselamatan jalan raya untuk tujuh universiti tempatan.

Program kesedaran hasil kerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) itu disasarkan kepada 5,000 penuntut universiti terpilih.

Tujuh universiti itu adalah UTMSPACE, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu, Universiti Selangor,  Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Ketua Keselamatan Korporat, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron, Lokman Hani, berkata tujuh universiti yang terbabit akan dilawati Petron mulai September hingga Disember.

"Program keselamatan jalan raya Petron adalah acara terbesar dan terpanjang dengan membabitkan lebih banyak universiti.

"Objektif kami adalah mendedahkan pelajar tentang kepentingan keselamatan jalan raya," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program keselamatan jalan raya di Residensi UTM Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Roslan Eusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Tahun lalu, program keselamatan jalan raya Petron dianjurkan di tujuh universiti di seluruh negara membabitkan 4,665 pelajar.

Bagaimanapun, pada tahun ini, program itu menggunakan pendekatan menyeronokkan, menarik dan interaktif di mana pelajar universiti bersaing dalam satu kumpulan berkonsepkan 'Amazing Race' untuk menyelesaikan kuiz keselamatan jalan raya dan beberapa elemen berkaitan keselamatan.

Rakan kongsi program keselamatan jalan raya Petron adalah JKJR, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Honda Malaysia, Michelin dan Nestle.

"Program keselamatan jalan raya Petron adalah selaras dengan objektif United Nations Decade of Action for Road Safety 2011-2020.

"Ia adalah advokasi global yang menggalakkan pemanduan selamat menerusi pematuhan undang-undang lalu lintas," tambah Lokman.

Program keselamatan jalan raya Petron diperkenalkan sejak 2014 membabitkan lebih 8,000 pelajar.

Berita Harian X