Sabtu, 4 Ogos 2018 | 8:28pm
SHAMSUL Iskandar @ Yusre Md Akin (dua dari kiri) di Majlis beramah mesra bersama pekebun kecil getah, di Kedai Kopi Kak Nun, Kampung Pek, Machang. - Foto Mohd Zulkifli Zainuddin

Tambah pusat pengumpulan susu getah

MACHANG: Kementerian Industri Utama akan menyediakan infrastruktur pusat pengumpulan susu getah bagi menggalakkan pekebun kecil getah menjual bahan mentah itu berikutan permintaan tinggi industri pembuatan sarung tangan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Shamsul Iskandar @ Yusre Md Akin, berkata buat masa ini, negara terpaksa mengimport susu getah disebabkan pengeluaran yang sangat rendah di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu bagaimanapun masih di peringkat penelitian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Malaysia antara negara besar dalam industri pembuatan sarung tangan dan industri ini memerlukan susu getah.

"Kita sekarang ini banyak mengeluarkan getah sekerap, namun kita juga memerlukan susu getah. Jika pusat pengumpulan susu getah sendiri tidak banyak disediakan, bagaimana kita mahu galakkan mereka menjual bahan mentah berkenaan.

"Jadi, kita sekarang bergerak ke arah terbabit kerana motor dan tong bagi mengumpul susu getah berlainan dengan getah sekerap yang dikumpul ketika ini," katanya pada Majlis Ramah Mesra Pekebun Kecil Getah, di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil dikekalkan bagi meringankan beban mereka berikutan masalah kejatuhan harga getah akibat lambakan bahan mentah itu di pasaran.

"Kita juga dalam usaha mengajak dua lagi negara pengeluar getah terbesar iaitu Indonesia dn Thailand, dalam menentukan kadar pengeluaran getah bagi menangani masalah lambakan bahan mentah.

"Selain itu, kita juga sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian lain bagi meningkatkan penggunaan getah di negara ini untuk kegunaan pelbagai produk, termasuk pembuatan jalan getah," katanya.

Berita Harian X