Khamis, 2 Ogos 2018 | 8:03pm

MIDF peruntuk RM150 juta bagi dua skim jaminan baharu

KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) memperuntukkan RM150 juta bagi membiayai syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengembangkan perniagaan mereka di bawah dua Skim Jaminan baharu tahun ini.

Dua Skim Jaminan baharu yang diuruskan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) itu ialah Jaminan Proses Automasi (APGS) dan Skim Jaminan Harta Intelek (IPGS).

Ketua Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa, berkata setakat ini, MIDF meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.3 bilion kepada 10,738 syarikat.

Beliau berkata, bagi 2018, MIDF menyasarkan kelulusan pembiayaan sebanyak RM800 juta termasuk untuk permodenan dan automasi pengeluaran dan juga bagi sektor perkhidmatan.

"Di bawah kerjasama skim jaminan (diuruskan) SJPP ini, MIDF menjangkakan sejumlah RM150 juta pembiayaan baharu akan diluluskan," katanya pada sidang media sempena pemeteraian Perjanjian Kerjasama MIDF dan SJPP di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming; Pengerusi Kumpulan MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani dan Pegawai Utama SJPP Bhd, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Sementara itu, Nungsari berkata, sehingga kini lebih 13,000 PKS mendapat manfaat daripada skim jaminan yang diuruskan SJPP.

Mengenai impak perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, Darell berkata, Malaysia akan melihat terlebih dulu kepada pendirian kedua-dua negara berkenaan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan akan mendengar pandangan AS mengenai perkara itu sempena lawatan kerja Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ke negara ini.

"Tunggu apa yang mahu dikatakan (Pompeo)...biarkan beliau berurusan dengan kerajaan kita...dan memberi perkembangan terkini dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penyelesaian," katanya.

Pompeo mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Berita Harian X