Jumaat, 20 Julai 2018 | 12:52pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian Kewangan rendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2018

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada kira-kira lima peratus, dengan Malaysia yang bergantung kepada eksport berdepan kesan sampingan daripada perang dagangan.

"Jika ekonomi global perlahan, sebagai sebuah negara perdagangan sudah pasti Malaysia akan menerima kesan," katanya dalam satu temubual bersama Haslinda Amin dari Bloomberg Television.

Unjurannya itu lebih sederhana berbanding anggaran kebanyakan ahli ekonomi dan lebih rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 5.5 peratus ke 6.0 peratus.

Hampir dua bulan bertugas, Guan Eng menerajui agenda Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan hutang kerajaan, mengawal perbelanjaan dan membanteras rasuah.

Beliau perlu melakukannya dengan pendapatan lebih rendah selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus dimansuhkan dan dengan latar belakang risiko global yang semakin meningkat apabila pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China meningkat sambil pelabur keluar dari pasaran sedang pesat membangun.

"Namun katakan jika semua perkara dapat dilunaskan, masih juga ada peluang untuk kita," kata Guan Eng.

"Bukan hanya sebagai pusat pengangkutam, malah juga sebagai negara neutral dalam pertikaian ini, yang membolehkan syarikat-syarikat China dan AS melabur serta mengeksport produk mereka."

Perdagangan mempengaruhi pengembangan Malaysia sejak tahun lalu, membantu meningkatkan kadar pertumbuhan kepada 5.9 peratus pada 2017.

Singapura, China dan AS adalah rakan dagangan terbesar Malaysia.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu diberikan tanggungjawab mengawasi usaha penjimatan kerajaan baharu, yang antara lain termasuk pemotongan gaji menteri serta membatalkan dan menyemak semula projek-projek infrastruktur besar.

Kerajaan dibelenggu hutang dan liabiliti lebih daripada RM1 trilion, yang diburukkan lagi oleh jaminan kerajaan bagi syarikat awam, termasuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Ada kalanya bukan sekadar hutang yang menghantui anda, ia mengenai keupayaan untuk membayar balik," katanya sambil menambah bahawa tumpuannya adalah untuk mengurangkan beban itu dari segi nominal dan juga bahagiannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Guan Eng berkata, keutamaannya adalah untuk mencapai sasaran defisit fiskal 2.8 peratus daripada KDNK tahun ini, memandangkan bajet berimbang tidak mampu dicapai dalam masa terdekat ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengunjurkan untuk mencapai defisit menjelang 2022 atau 2023, berbanding sasaran asal pada 2020.

Di sebalik beban hutang itu, Guan Eng mewarisi mata wang yang agak stabil dan inflasi sederhana.

Harga pengguna meningkat 0.8 peratus pada Jun berbanding setahun lalu, yang terendah dalam tempoh lebih tiga tahun, manakala ringgit susut 0.5 peratus tahun ini, prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau lain.

Guan Eng berkata, beliau bersetuju dengan Mahathir bahawa nilai wajar ringgit adalah kira-kira 3.80 berbanding dolar, iaitu tujuh peratus lebih kukuh berbanding paras semasa, yang juga sama dengan tambatan yang ditetapkan pada 1998 semasa krisis kewangan Asia.

"Ada kala kita merasakan pasaran mungkin menilai rendah kekuatan ringgit, namun kita mahu membiarkan pasaran menentukan," katanya.

"Banyak pelabur yang sedang mempertimbangkan, atau melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan, menunjukkan bahawa mereka berminat dengan tumpuan kita terhadap ketelusan."

-Bloomberg

27 dibaca
Berita Harian X