Khamis, 19 Julai 2018 | 5:27pm

MPTN siar 3 siri asal mulai September

KUALA LUMPUR: Media Prima Television Network (MPTN) mengumumkan kerjasama dengan Viu, bagi menayangkan tiga siri asal untuk pasaran tempatan bermula September ini.

Tiga siri itu ialah Salon yang akan ditayangkan bermula September, Jibril (Oktober 2018) dan The Bridge (November 2018) yang akan ditayangkan di saluran NTV7 dan juga di Viu pada hari dan waktu yang sama.

Ini adalah kali pertama peneraju penyiar kandungan over-the-top (OTT) di rantau ini menjalin usaha sama dengan penyiar TV terbesar Malaysia untuk menayangkan isi kandungan pada hari sama.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak, berkata konsep kerjasama dengan Viu timbul apabila pihaknya mendapati penonton mahukan kandungan yang tulen, khusus berkisarkan Malaysia dan berkualiti tinggi.

"Kami percaya kerjasama ini boleh membangunkan lebih banyak siri drama yang hebat seperti drama Nur yang pernah ditayangkan di TV3.

"Selain itu, menerusi platform Viu, kami menjangkakan untuk mendapat lebih ramai capaian digital yang lebih khusus dan menyediakan kandungan berkualiti tinggi kepada ramai rakyat Malaysia.

"Selain mahu menarik khalayak baharu, ini adalah langkah terbaik menghadiahkan penonton setia kami yang selama ini sentiasa menyokong kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Malaysia Viuclip, Kingsley Warner, berkata kerjasama ini menyaksikan pandangan bahawa kewujudan OTT mahu mencabar industri TV sebagai satu salah faham yang biasa didengari.

Sebaliknya katanya, pihaknya melihat sinergi sebenar di antara penonton digital dan TV linear di Malaysia.

"Kerjasama seumpama ini adalah sesuatu yang tidak mustahil hari ini kerana Malaysia mempunyai populasi yang mempunyai hubungan digital yang tinggi termasuk pengguna yang ramai dalam TV tidak berbayar.

"Kami amat hargai kerjasama dengan MPTN, peneraju penyiaran di Malaysia yang akan meraih manfaat daripada Viu yang membawa format antarabangsa dan drama premium Melayu kepada penontonnya tahun ini," katanya.

Berita Harian X