Isnin, 9 Julai 2018 | 4:36pm
SEBAHAGIAN wakil media melawat tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas taklimat yang disampaikan oleh pihak Malaysia Rail Links (MRL) Sdn Bhd di Tunjong. - Foto Syamsi Suhaimi

MRL nafi laporan pembinaan ECRL diteruskan

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menafikan laporan media hari ini yang menyatakan kerja pembinaan diteruskan walaupun menerima arahan penangguhan daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MRL berkata, laporan yang disiarkan dalam akhbar bahasa Inggeris dan Cina pada 8 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"MRL menegasrkan bahawa syarikat ini akur terhadap arahan penangguhan berkenaan dan tidak menjalankan kerja pembinaan berhubung projek terbabit.

"Bagaimanapun, dalam tempoh penangguhan ini, MRL dan China Communication Constructions Ltd (CCCC) akan menjalankan pemeriksaan terhadap keadaan tapak bagi memastikan integriti kerja yang sedia ada dan menjalankan kerja pemulihan dari semasa ke semasa untuk membaiki kerosakan sekiranya perlu.

"MRL mematuhi arahan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan untuk menangguhkan kerja pembinaan dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL sehingga diberitahu," katanya.

MRL berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menjaga integriti dan kualiti kerja dalam projek ECRL sehingga kini.

Sebelum ini, MRL menerima arahan daripada Menteri Kewangan untung menggantung kerja pembinaan dan perkhidmatan yang ditetapkan dalam kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) untuk projek berkenaan.

Notis penggantungan itu dikeluarkan terhadap kontraktor utama projek mega itu, CCCC dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM) pada hari sama.

MRL berkata, seperti yang diperuntukkan dalam kontrak ECRL EPCC, notis itu turut merangkumi arahan kepada CCCC untuk meminimumkan kerosakan pada tapak pembinaan sepanjang tempoh penggantungan.

"Mengekalkan keadaan tapak pembinaan turut bermaksud pihak berkuasa berkaitan perlu memantau keperluan keselamatan dan alam sekitar pada setiap masa sepanjang tempoh penggantungan itu dilaksanakan.

Berita Harian X